Tuesday, July 19, 2011

Skandal media Murdoch panas


LONDON 18 Julai - Skandal penggodaman melibatkan syarikat News Corporation milik hartawan media, Rupert Mourdoch menyaksikan pesuruhjaya polis London meletakkan jawatan dan menimbulkan persoalan baru terhadap pentadbiran Perdana Menteri, David Cameron.

Akhbar Britain melaporkan Cameron memendekkan lawatannya ke Afrika bagi menangani krisis yang menyebabkan rakyat negara ini kehilangan keyakinan terhadap polis, media dan pemimpin politik.

Para penganalisis berkata, tekanan berhubung skandal itu semakin meningkat ke atas Cameron dan Murdoch ekoran cara mereka menangani krisis tersebut selain kemungkinan hartawan media dari Australia itu akan disoal siasat oleh Parlimen esok.

Akhbar Guardian berkata, Cameron akan pulang dari Afrika esok bagi membolehkannya menguruskan siasatan yang akan diketuai Hakim Brian Leveson yang dilantik oleh Perdana Menteri Britain itu untuk menyiasat penggodaman oleh News Corporation.

Akhbar Financial Times berkata, Cameron pulang bagi menangani kritikan bahawa dia berada di luar negara ketika skandal berkenaan berlaku.

Pesuruhjaya Polis London, Paul Stephenson meletakkan jawatannya semalam ekoran dakwaan pegawai polis menerima rasuah daripada akhbar tabloid News of the World dan tidak melaksanakan siasatan secukupnya berhubung dakwaan penggodaman yang berlaku sejak 2005.

Stephenson mengambil tindakan tersebut selepas pendedahan bahawa beliau pernah tinggal di sebuah spa mewah.

Beliau dalam satu kenyataan mendakwa tidak tahu sejauh mana aktiviti penggodaman itu berlaku.

Dalam pada itu, bekas Ketua Eksekutif akhbar Britain bagi New Corporation, Rebekah Brooks dibebaskan dengan ikat jamin selepas 12 jam ditahan apabila dia menyerah diri kepada polis. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment