Tuesday, July 19, 2011

Skuad antikeganasan NU

JAKARTA 18 Julai - Gerakan Pemuda Ansor (GP Ansor) yang merupakan anggota gabungan pertubuhan Islam terbesar Indonesia Nahdlatul Ulama (NU), menubuhkan skuad menentang keganasan yang berperanan mengawal fahaman radikal.

Pengerusinya Nurson Wahid berkata, unit dikenali sebagai Detasmen 99 itu dianggotai 200 ahli dengan sebahagiannya turut dilatih mematikan bom buatan sendiri.

Katanya, ahli-ahli unit tersebut berperanan membantu polis melupuskan bom dan menghalang orang ramai daripada mengamalkan fahaman pelampau.

"Detasmen 99 tidak akan campur tangan dalam urusan skuad antikeganasan negara Detasmen 88, sama ada dalam penguatkuasaan undang-undang, serbuan atau penahanan suspek pengganas," katanya.

Nusron berkata, skuad itu akan merekrut lebih ramai ahli untuk ditempatkan di 17 wilayah yang mudah terdedah kepada fahaman pelampau termasuk beberapa bandar di pulau Jawa.

Bagaimanapun, kewujudan unit tersebut mendapat kritikan penganalisis keselamatan Noor Huda Ismail dari Institut Pembangunan Keamanan Antarabangsa.

"Saya rasa lebih baik mereka memberi tumpuan kepada bekas ahli-ahli NU yang dulunya mengamalkan kesederhanaan tetapi kini lebih bersikap radikal.

"Sebarang cubaan menggunakan kekerasan untuk menentang radikalisme akan berakhir dengan kerugian," katanya.

Ibu pejabat polis bagaimanapun tidak dapat dihubungi bagi mendapat ulasan lanjut. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment