RHU RENGGEH - Keadaan seorang mekanik berusia 40 tahun amat menyayat hati selepas dia tidak lagi mampu melakukan rutin harian membaiki motosikal di bengkelnya di Kampung Rhu Renggeh di sini, akibat diserang angin ahmar sejak lapan bulan lalu.
Namun lelaki ini, Rockiezul Harun atau lebih mesra dengan panggilan ‘Tengku Zul’ amat beruntung kerana mempunyai seorang ibu angkat bertanggungjawab dan berhati mulia seperti Mariam Abdullah, 70-an, yang cekal menjaganya sepanjang dia jatuh sakit.
Menurut warga emas terbabit, walaupun tiada ikatan kekeluargaan, dia sanggup menjaga mekanik itu seperti anaknya sendiri malah sanggup berkorban masa dan tenaga untuk lelaki itu atas dasar simpati dan mahu membantu insan bernasib malang.
“Rutin harian saya bermula sejak pagi apabila saya menyediakan makan paginya sebelum melakukan tugas harian saya. Tanggungjawab menjaganya terpikul di bahu saya memandangkan keluarganya jarang datang menjenguk sejak dia jatuh sakit.
“Tetapi saya tidak salahkan keluarganya kerana mungkin mereka ada tanggung jawab masing-masing, tambahan pula dia sendiri yang enggan pulang ke rumah keluarga dan adik-beradiknya di Kuala Terengganu,” katanya kepada Sinar Harian.
Isteri tidak pernah jenguk
Mariam berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pemilik rumah yang disewa Tengku Zul dan bapa saudara mekanik terbabit, Zaid Jusoh, 54, di kedai makan berdekatan rumahnya di Kampung Rhu Renggeh di sini.
Sebelum itu, Mariam yang tinggal berjiran dengan lelaki malang itu difahamkan bahawa anak angkatnya itu sudah berumah tangga dengan seorang wanita berasal dari Pahang. Namun isterinya tidak pernah datang menjenguk sepanjang dia jatuh sakit.
Malah, bahagian hadapan rumah sewa mekanik terbabit yang dijadikan bengkel membaiki motosikal dan mengecat kenderaan sejak dua tahun lalu juga tertutup rapat, seolah-olah tiada berpenghuni kerana dia kini hanya mampu berbaring di biliknya.
Keperitan hidup dan nasib anak angkat angkat warga emas ini menjadi kini bertambah berat apabila pemilik rumah sewanya pula ingin menyewakan rumah itu kepada individu lain kerana kegagalannya membayar sewa rumah selepas jatuh sakit.
Mariam berkata, dia telah membantu menjelaskan bayaran sewa rumah dan bil serta keperluan lain sebanyak lebih kurang RM400 sebulan sepanjang beberapa bulan lalu, tetapi tidak mampu untuk menjelaskan kesemua sewa tertunggak kerana tidak bekerja.
Hubungi keluarga
“Saya tidak mampu membantunya menjelaskan keseluruhan bayaran sewa rumah yang tertunggak kerana kehidupan saya juga bergantung dengan hasil kutipan sewa kedai makan berdekatan rumah saya ini,” katanya.
Bercerita lanjut, Mariam berkata, ketika ini keadaan diri dan kesihatan anak angkatnya itu menjadi semakin tidak terurus menyebabkan dia terus menghubungi bapa saudara keluarga mekanik terbabit yang tinggal di Kuala Terengganu.
“Saya menghubungi keluarganya beberapa bulan lalu, tidak lama selepas itu bapa saudaranya itu ada datang tetapi enggan membawanya pulang kerana tiada siapa yang sanggup menjaganya tambah pula dia berdegil enggan pulang,” katanya.
Namun, kedegilan Tengku Zul akhirnya berakhir apabila satu pertemuan di antara pemilik rumah yang disewa dari Kemaman dan bapa saudaranya yang tinggal di Kampung Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu itu diaturkan kelmarin, bagi menyelesaikan masalah itu.
Mariam berkata, walaupun sedih memikirkan nasib anak angkatnya itu, namun dia bersyukur kerana keluarganya akhirnya sanggup membawanya pulang bagi memastikan insan malang itu mendapat penjagaan lebih baik berbanding dirinya.
No comments:
Post a Comment