Tuesday, July 19, 2011

Maut terkena peluru sesat



KAMPUNG BENTAN - Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) gagal diselamatkan selepas beberapa jam bertarung nyawa akibat terkena tembakan peluru sesat sewaktu menyertai operasi memburu binatang liar, pada 9.30 pagi, kelmarin.

Mangsa, Ismail Md Ali, 50, dari Taman Teratai, Kampung Marhum disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan kira-kira jam 6.30 petang akibat kecederaan parah di bahagian tepi dada sebelah kiri.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, pada pagi kejadian, mangsa bersama tujuh lagi peserta termasuk empat kakitangan Perhilitan dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Rela hadir seawal jam 8 pagi untuk menyertai operasi itu.

Menurutnya, semua yang terlibat mendapat taklimat daripada wakil ketua kampung sebelum memulakan operasi memburu binatang liar di sekitar kawasan Kampung Bentan bersempadan Kampung Serandu yang telah ditetapkan.

“Ketika mangsa tiba di tempat kejadian, di mana operasi sedang berjalan, mangsa secara tiba-tiba terkena peluru sesat daripada senapang milik salah seorang peserta lain.

“Mangsa yang jatuh dan mengerang kesakitan dibawa keluar oleh peserta berhampiran yang mendengar jeritan mangsa sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Yahaya berkata, mangsa yang juga pekerja kilang DRB-Hicom bagaimanapun gagal diselamatkan akibat kecederaan parah sebelum jenazahnya dibawa pulang bagi urusan pengebumian.

“Rentetan kejadian itu, polis menahan peserta berusia 53 tahun yang melepaskan tembakan bagi menjalankan siasatan lanjut dan dibebaskan dengan jaminan.

“Mengikut siasatan awal, peserta berkenaan mempunyai lesen memiliki senapang patah dan kes terbabit masih disiasat mengikut Seksyen304 (a) Kanun Keseksaan,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment