JAKARTA 18 Julai - Pengetua pesantren Umar bin Khatab di Bima, Nusa Tenggara Barat (NTB), Abrori M. Ali dipercayai sudah lama terlibat dengan rangkaian militan di Indonesia.
"Dia mengaku telah menyertai kem latihan separa tentera yang diketuai oleh Santoso alias Abu Wardah yang kini termasuk dalam senarai orang buruan kami," kata sumber daripada unit antikeganasan polis kepada akhbar Jakarta Post, semalam.
Santoso didakwa sebagai dalang yang dikehendaki berhubung insiden dua anggota polis ditembak mati di Poso, Sulawesi Tengah.
"Abrori mempelajari cara mengendalikan senjata dan membuat bom semasa menyertai kem separa tentera di Poso selama dua minggu," kata sumber itu.
Abrori dilantik menjadi pengetua Umar bin Khatab bagi menggantikan Mujahidul Haq alias Uqbah yang ditangkap pada Disember lepas kerana didakwa memungut wang untuk sebuah lagi kem separa tentera di Aceh.
Mujahidul sedang dibicarakan berhubung kes kem latihan di Aceh itu.
Polis menamakan Abrori sebagai suspek bersama-sama tujuh orang lain yang ditangkap berhubung satu letupan bom yang membunuh seorang di pesantren tersebut.
Dia dibawa ke ibu pejabat polis NTB pagi kelmarin.
"Kami masih menyiasat Abrori dan suspek lain kerana penglibatan dengan letupan itu dan kesemua mereka sedang disoal siasat," kata ketua polis wilayah, Brigadier Jeneral Arif Wachyunadi, semalam.
Bapa Abrori, Aly Ghani Al Mahyubi menafikan dakwaan anaknya itu pernah menjalani latihan di Mindanao, selatan Filipina tetapi mengaku dia menghabiskan masa setahun di Ambon apabila sengketa agama meletus di kawasan itu. - Agensi
No comments:
Post a Comment