GENTING HIGHLANDS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menyiarkan rakaman video ketika menangani perhimpunan haram 9 Julai lalu dan pendedahan itu akan dibuat di semua saluran televisyen tempatan selepas siasatan menyeluruh selesai dijalankan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata polis akan menyiarkan rakaman berkenaan sekiranya terdapat keperluan menangkis tohmahan beberapa pihak yang mendakwa PDRM melakukan kekerasan.
Pada masa sama, beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai rakaman video berhubung perhimpunan haram berkenaan supaya bekerjasama dengan polis dan tampil menyerahkannya bagi membantu siasatan untuk dijadikan bukti terhadap dakwaan polis bertindak ganas ketika menyuraikan perhimpunan itu.
Menurutnya, enam jawatankuasa khas sudah ditubuhkan bagi menyiasat enam tohmahan berkaitan kekerasan dan kekejaman polis ketika menangani perhimpunan haram berkenaan dan memberi jaminan siasatan dilakukan mengikut undang-undang sedia ada dan telus.
“Kami sedang siasat secara terperinci berhubung enam tohmahan berkenaan termasuk memanggil beberapa individu yang juga saksi di perhimpunan berkenaan dan berharap dapat menyelesaikannya secepat mungkin.
“Saya janji, siasatan telus, menyeluruh dan terperinci serta polis tidak akan menyembunyikan fakta,” katanya selepas Seminar Langkah-Langkah Lebih Baik Dalam Menangani Kecurian Kenderaan, di Awana Genting, di sini, semalam.
Khalid berkata, jawatankuasa khas berkenaan diketuai seorang pegawai kanan polis yang akan menyiasat dari semua aspek termasuk mengambil keterangan beberapa saksi. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai enam tohmahan itu.
“Apa pun keputusan diperoleh, kami akan hebahkan termasuk jika ada keperluan siarkan rakaman video perhimpunan itu. Polis akan siasat dan tidak akan menyembunyikan mana-mana fakta,” katanya.
“Pada masa sama, kita ingin mengetahui sama ada segala tohmahan benar atau tidak, selain menyiasat adakah ia hanya diada-adakan saja,” katanya.
No comments:
Post a Comment