Tuesday, July 19, 2011

Palestin terus bergelut tagih pengiktirafan PBB

PALESTIN tidak wajar menunggu lebih lama lagi untuk mendapatkan kemerdekaan menerusi proses damai yang sudah lumpuh. Pengumuman Liga Arab bahawa ia akan meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menaikkan status Palestin menjadi anggota penuh badan dunia itu adalah semula jadi. Melihat kepada puluhan negara bukan Arab yang menyokong rakyat Palestin dalam hal ini, ia akan kelihatan janggal dan bodoh jika negara Arab sendiri tidak menyertai kumpulan itu.

Bagaimanapun, untuk menjadi anggota penuh PBB, Palestin perlu memenangi dua pertiga majoriti atau 128 undi dalam Perhimpunan Agung yang terdiri daripada 192 anggota serta mendapat kelulusan Majlis Keselamatan. Untuk mendapat undi sebanyak itu bukan sesuatu yang mustahil. Setakat ini, 112 negara sudah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan jumlahnya hampir mendekati angka 120. Tetapi untuk mendapatkan pengiktirafan Majlis Keselamatan adalah satu masalah besar kerana Amerika Syarikat sudah pasti menggunakan kuasa veto untuk menolak usaha itu.


Israel sedar Palestin mempunyai peluang untuk mendapat dua pertiga majoriti di Perhimpunan Agung. Kesedaran itu mendorongnya menggerakkan jentera pelobinya bagi mempengaruhi media antarabangsa dan masyarakat Yahudi Amerika untuk mengurangkan kesan buruk akibat daripada pengundian di Perhimpunan Agung kelak.

Alasan mereka ialah Palestin cuba mencapai matlamat secara bersendirian, bukan menerusi rundingan.


Tetapi, di manakah rundingan itu? Pihak Berkuasa Palestin (PA) meminta pentadbiran Obama untuk memberi jaminan bahawa Israel tidak mencabul rundingan damai yang diperbaharui dengan meneruskan perluasan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis serta memastikan rejim Yahudi itu kembali ke sempadan sebelum Perang 1967. Pentadbiran Obama sehingga ini gagal memberi jaminan itu kerana bantahan keras daripada pelobi Yahudi Amerika yang menguasai Kongres Amerika Syarikat. Memandang hal itu, Palestin menggesa Amerika berpatah balik dan menyokong usahanya untuk mendapatkan status anggota penuh PBB.


Untuk melihat Washington berpatah balik adalah sesuatu yang tidak mungkin terjadi dan ini mendorong Palestin beralih kepada Eropah. Tidak seperti Amerika, Eropah melihat PBB sebagai tempat yang sah bagi menangani proses damai Asia Barat. Tetapi, sehingga ini, Eropah tidak bersepakat dalam menyokong rancangan itu. Jerman, Itali dan Belanda dijangka mengundi menentang usul berkenaan atau berkecuali sementara Perancis dan Britain membayangkan, jika tidak ada kemajuan penting dicapai dalam proses damai menjelang September, apabila pengundian PBB itu diadakan, mereka mungkin menyokong usaha Palestin itu.

Tidak salah bagi Pihak Berkuasa Palestin meneruskan rundingan damai dengan Israel dan pada masa sama kekal komited untuk mendapatkan pengiktirafan PBB sebagai sebuah negara merdeka. Hala tuju kedua-duanya tidak semestinya bertentangan antara satu sama lain. Ia juga tidak boleh menggugurkan salah satu daripadanya.

Bagi alasan yang praktikal, meskipun pendekatan dua serampang itu tidak mungkin berjaya, pilihan perlu dilakukan. Masalahnya ialah Pihak Berkuasa Palestin bimbang ia akan mendapati dirinya terperangkap dalam keadaan antara menyambung semula rundingan yang sia-sia dengan Israel dengan rakyat Palestin yang mendesak pucuk kepemimpinan pihak berkuasa itu supaya terus berusaha mendapatkan pengktirafan PBB tanpa mempedulikan tindakan Amerika Syarikat. Dalam menghadapi bantahan Amerika Syarikat, sebahagian pemimpin Palestin membayangkan mereka mungkin memilih peningkatan taraf yang terhad di PBB, kepada status bukan negara anggota. Ini hanya memerlukan pengesahan Perhimpunan Agung. Namun, tanpa pilihan yang meyakinkan, pemimpin Pihak Berkuasa Palestin perlu meneruskan rancangannya untuk mendapatkan pengiktirafan PBB, tanpa menghiraukan tekanan Amerika dan Israel.

Mereka tidak perlu menunggu lebih lama bagi satu proses damai yang sudah lumpuh untuk mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah Palestin yang dijajah Israel. - Agensi

myMetro | Palestin terus bergelut tagih pengiktirafan PBB

No comments:

Post a Comment