Wednesday, July 6, 2011

Perebutan jawatan dalam Kabinet bermula

BANGKOK 5 Julai - Perebutan mengisi jawatan dalam kerajaan baru Thailand dilaporkan bermula hari ini, walaupun bakal Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra berkata, masih terlalu awal untuk beliau memutuskan barisan Kabinetnya.

Sementara itu pengkritik dan pelabur melahirkan kebimbangan janji Yingluck semasa berkempen untuk melaksanakan dasar-dasar populis yang menelan kos berbilion-bilion dolar akan meningkatkan inflasi dan kadar faedah.

Yingluck yang merupakan muka baru di pentas politik perlu meredakan kebimbangan banyak pihak berhubung kepulangan abangnya, Thaksin, selepas Parti Pheu Thai pimpinannya menang pada pilihan raya kelmarin.

"Buat masa ini tidak ada rundingan mengenai Kabinet, kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) belum mengesahkan keputusan pilihan raya," kata Yingluck.

Bangkok Post melaporkan Thaksin, yang kini hidup dalam buangan di Dubai, mungkin menapis calon untuk jawatan Kabinet, dan langkah sedang diambil untuk membolehkan beliau pulang tetapi bukan dalam tempoh terdekat.

Pheu Thai yang memenangi 265 daripada 500 kerusi Parlimen boleh memerintah sendirian, tetapi Yingluck semalam berkata, beliau akan membentuk sebuah kerajaan campuran terdiri daripada lima parti untuk menguasai sejumlah 299 kerusi.

"Membentuk kerajaan campuran mungkin langkah politik paling bijak pada ketika ini.

"Dengan membawa parti-parti lain ke dalam kerajaan, Yingluck akan memberi gambaran beliau mendapat sokongan luas di Parlimen," kata pakar ekonomi HSBC di Singapura, Wellian Wiranto.

Pheu Thai akan memegang portfolio pertahanan, hal-ehwal luar, dalam negeri, pengangkutan dan pertanian dan Yingluck yang sudah membuktikan kebolehannya sebagai ahli perniagaan dijangka menyelia kementerian-kementerian berkaitan ekonomi, lapor media tempatan . - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment