Wednesday, July 6, 2011

Tinggal keluarga demi Sosilawati

PATHMANABHAN (tengah) bersama tiga pekerjanya yang didakwa membunuh Sosilawati dan tiga rakan dibawa ke Mahkamah Shah Alam, Selangor semalam.


SHAH ALAM - Isteri Noorhisham Mohamad, seorang daripada empat mangsa pembunuhan termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa dia marah apabila suaminya sanggup meninggalkan keluarga selama tiga hari kerana ingin membantu orang lain.

Suzana Radin Pangat, 39, berkata, kemarahannya diluahkan melalui satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berbunyi: "Kenapa sanggup nak bantu orang tapi tinggalkan saya dan anak-anak selama tiga hari."

Wanita itu menghantar SMS itu kepada telefon bimbit milik Noorhisham, lima minit selepas panggilan terakhir suaminya yang memberitahu bahawa dia tidak boleh pulang selama tiga hari kerana cuba menyelamatkan Sosilawati.

Sebelum itu, Suzana memberitahu, Noorhisham menghubunginya pada pukul 8 malam 30 Ogos 2010 dan memberitahu dia sedang cuba menyelamatkan Sosilawati.

"Noorhisham kata Kamal, pemandu Sosilawati (Kamaruddin Shamsuddin) ugut Sosilawati sebab ada satu gambar tidak elok nak disebarkan, jadi dia (Noorhisham) dan Kamil (Ahmad Kamil Abdul Karim) terpaksa bantu Sosilawati dalam hal ini.

"Lepas itu dia minta saya faham situasi dan minta maaf pada saya banyak-banyak dan dia kata dalam masa tiga hari dia balik dan akan cerita apa berlaku pada dia," jelas Suzana.

Selepas itu, dia bertanya di mana suaminya berbuka puasa pada hari itu namun suaminya tidak menjawab pertanyaan itu malah terus mematikan talian.

Ketika ini, saksi kelapan pendakwaan itu tidak dapat menahan perasaan sebak sehingga terpaksa berhenti seketika untuk menenangkan dirinya.

Suzana memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, R. Matan dan R. Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, yang merupakan seorang pegawai bank, Ahmad Kamil, 32, seorang peguam, dan Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.40 malam 30 Ogos tahun lepas.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff, mengapa dia tidak menghubungi Noorhisham sebaliknya hanya menghantar SMS?.

Suzana yang bekerja sebagai pembantu peribadi di Ibu Pejabat Bank CIMB, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur berkata, dia hanya menghantar SMS kerana berada dalam keadaan marah ketika itu.

Ishak: "Ada Noorhisham hubungi awak semula selepas itu?"

Suzana: "Dia ada call tetapi saya tidak jawab."

Ishak: "Ada cuba hubungi suami selepas hantar SMS?"

Suzana: "Ada, masa sahur kira-kira pukul 3 pagi 31 Ogos 2010, tetapi saya tidak berjaya hubungi dia."

Terdahulu, saksi itu berkata, kali terakhir dia berjumpa suaminya yang dikahwini pada 1995 ialah semasa Noorhisham menghantarnya ke pejabat pada pukul 8 pagi 30 Ogos 2010.

Ishak: "Semasa hantar awak ke tempat kerja, ada (Noorhisham) beritahu apa-apa tentang tugasan dia hari itu?"

Suzana: "Dia ada beritahu petang dia akan ke Banting bersama Ahmad Kamil atas urusan Sosilawati. Kira-kira pukul 4 petang hari yang sama suami ada hubungi saya di pejabat memberitahu dia akan bersama Ahmad Kamil pergi ke Banting dan akan naik kereta Ahmad Kamil."

Ditanya mengenai pakaian yang dipakai Noorhisham ketika menghantar dia ke tempat kerja, ibu kepada tiga orang anak itu berkata, suaminya memakai baju korporat CIMB Islamic berwarna hijau dan jam tangan jenama Longines yang diperoleh daripada majikannya sebagai ganjaran kerana perkhidmatan cemerlang pada 2008.

Ketika Ishak menunjukkan jam tangan itu kepada Suzana untuk dicamkan, saksi tersebut dilihat membelek-belek jam tangan itu sebelum tunduk dan menangis.

Kosmo! Online - Negara

No comments:

Post a Comment