PUTRAJAYA - Kerajaan mahu mendekati golongan penggodam siber agar lebih memahami dan memanfaatkan kemahiran dan bakat yang ada pada mereka.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof berkata, ia termasuk menghadiri persidangan tahunan pihak tersebut.
Menurut beliau, terdapat juga perkara positif dalam kalangan penggodam.
"Untuk tujuan ini, CyberSecurity, Majlis Keselamatan Negara, polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mesti bersama mereka agar kita dapat mengetahui rangkaian penggodam yang lebih luas.
"Akhirnya kita boleh memahami siapa penggodam yang baik dan jahat. Kita juga boleh mempelajari bagaimana untuk mempertahankan diri kita (daripada serangan penggodam)," katanya selepas merasmikan seminar mengenai jenayah siber di sini semalam.
Seminar tiga hari tersebut anjuran Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia yang julung-julung kali diadakan memperkatakan tentang aspek perundangan dan teknikal jenayah siber.
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Datuk Husin Jazri pula berkata, terdapat pengajaran daripada kejadian serangan penggodam terhadap beberapa laman web kerajaan baru-baru ini.
Bulan lalu, 198 laman web di negara ini mula digodam selepas satu kumpulan yang bergelar Anonymous yang mendakwa berpangkalan di luar negara mengancam mengganggu portal rasmi kerajaan di alamat www.malaysia.gov.my.
Kumpulan itu bertindak demikian kerana mendakwa Malaysia menyekat hak asasi dengan membuat sekatan, bukan sahaja Internet, malah tayangan filem dan siaran televisyen.
Sehubungan itu, kata nya, langkah perlu diambil untuk mendekati generasi muda yang memiliki bakat dan kemahiran siber.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih, Azli Paat mengingatkan kerajaan bahawa pendekatan berbaik-baik dengan penggodam siber hanya akan melahirkan lebih ramai pihak yang berminat melakukan jenayah siber pada masa depan.
Azli ketika dihubungi Kosmo! berkata, pendekatan itu juga dilihat seolah-olah kerajaan berkompromi dan mengaku kalah dengan serangan penggodam.
No comments:
Post a Comment