Wednesday, July 6, 2011

Pendakwah Zainuddin MZ meninggal

PEMERGIAN DIRASAI: Allahyarham Zainuddin MZ digelar pendakwah 'sejuta umat' kerana ceramahnya sering dihadiri ramai pengikut. -- Foto fail
LUAR NEGARA

JAKARTA: Pendakwah terkenal Indonesia, Zainuddin MZ, meninggal dunia pada 9.22 pagi (waktu tempatan) semalam di Hospital Pertamina di sini, dipercayai ekoran serangan jantung.

Allahyarham, 60 tahun, yang dikenali sebagai pendakwah 'sejuta umat', antara pendakwah paling dihormati di Indonesia dan ceramah agamanya sering dihadiri ramai pengikut.

Selain aktif berdakwah, beliau pernah menyertai bidang politik dengan menjadi anggota Parti Persatuan Pembangunan (PPP) dan kemudian menjadi ketua umum Parti Bintang Reformasi.

Allahyarham juga dilaporkan rapat dengan golongan selebriti.

Tahun lalu, Allahyarham dilanda skandal apabila seorang penyanyi dangdut, Aida Saskia, mendakwa dirogol beliau sembilan tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

Antara mereka yang ditemui di kediaman Allahyarham di kawasan Gandaria, Jakarta Selatan, semalam ialah mantan ketua Suruhanjaya Membanteras Rasuah (KPK), Encik Taufiequrachman Ruki, yang kali terakhir bertemu Allahyarham dua minggu lalu.

Menurut Encik Ruki, Allahyarham sempat menyampaikan pesanan kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. Beliau menukil Allahyarham sebagai berkata: 'Tolong sampaikan pesan saya ke presiden, agar presiden mengakhiri jabatan secara husnul khatimah (berakhir dengan baik).'

Jenazah Allahyarham dikebumikan di halaman Masjid Fajrul Islam di Jakarta. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment