Wednesday, July 6, 2011

Mohon maaf berulang kali

KETERANGAN...Suzana memberi keterangan ketika ditanya Ishak.
KETERANGAN...Suzana memberi keterangan ketika ditanya Ishak.
HADIR...Erni Dekritawati bersama bapanya, Buhari Mohamed hadir di mahkamah.
HADIR...Erni Dekritawati bersama bapanya, Buhari Mohamed hadir di mahkamah.

SHAH ALAM: Panggilan telefon secara tergesa-gesa oleh pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad untuk memohon maaf berulang kali kerana tidak dapat pulang ke rumah selama tiga hari atas alasan mahu menolong jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, menimbulkan kemarahan isterinya.

Ia menyebabkan Suzana Radin Pangat, 39, menghantar SMS kepada Noorhisham yang dianggapnya sanggup meninggalkan mereka sekeluarga pada Ramadan semata-mata mahu membantu orang lain dan panggilan telefon daripada suaminya itu sejurus pesanan teks itu dihantar, turut diabaikannya.

Apa yang Suzana tidak tahu itulah panggilan telefon terakhir daripada Noorhisham, pasangan hidupnya selama 16 tahun sebelum suaminya disahkan meninggal dunia.

Dengan nada yang sebak dan air mata yang bergenang, Suzana yang bertugas sebagai pembantu peribadi di Ibu Pejabat CIMB Bank, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, memberi keterangan pada prosiding perbicaraan kes pembunuhan ngeri membabitkan Noorhisham, 38; Sosilawati, 47; pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44; dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.


Menurut Suzana, sebelum itu pada 30 Ogos 2010, jam 8 pagi, ketika Noorhisham menghantarnya ke tempat kerja, suaminya memberitahu mahu ke Banting pada sebelah petang bersama Ahmad Kamil atas urusan perniagaan membabitkan Sosilawati.


Katanya, itulah kali terakhir dia bertemu suaminya.

“Ia menjadi kebiasaan kepada Noorhisham maklumkan kepada saya jika dia balik lewat atau berjumpa pelanggan. Pada sebelah petang jam 4, ketika berada di pejabat, saya menerima panggilan telefon daripada Noorhisham memberitahu dia dalam perjalanan ke Banting bersama Ahmad Kamil dengan menaiki kenderaan milik rakannya itu.

“Kira-kira jam 8 malam selepas berbuka puasa, Noorhisham sekali lagi menghubungi saya. Dia (Noorhisham) maklumkan tidak dapat pulang selama tiga hari sebab ‘ada hal’.

“Apabila saya tanya kenapa, dia kata nak selamatkan Sosilawati. Kamal ada ambil gambar ‘tak elok’ dan mahu sebarkan. Dia dan Ahmad Kamil terpaksa bantu Sosilawati,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yussuf.

ISHAK: Boleh beritahu mahkamah apa lagi yang berlaku?

SUZANA: Dia (Noorhisham) minta saya faham keadaan itu. Dia minta maaf pada saya banyak-banyak. (Ketika itu Suzana terus menangis. Apabila ditanya Hakim Datuk Akhtar Tahir sama ada dia mahu meneruskan atau diberi ruang bertenang, sambil mengangguk dia minta diteruskan).

Noorhisham kata dalam masa tiga hari dia balik dan ceritakan semuanya. Saya tanya dia di mana, dia tidak jawab, tanya dia berbuka (puasa) di mana pun dia tidak jawab dan terus matikan telefon. Dia nak cepat.

Saya tidak sempat bertanya apa-apa. Pada kebiasaannya kami akan bertanya satu sama lain di mana dan makan apa, tapi pada hari itu dia tidak jawab soalan saya.
ISHAK: Berapa lama perbualan itu berlaku?

SUZANA: Saya tidak ingat tetapi sekejap sangat.

ISHAK: Ketika itu ada kamu dengar apa-apa dalam telefon?

SUZANA: Tidak ada, suasana di sebelah sana sunyi.

ISHAK: Puan pasti yang menelefon puan itu adalah suami puan?

SUZANA: Ya, saya pasti sebab ada menyimpan nombor suami di telefon bimbit dan apabila dia membuat panggilan akan tertera namanya lagi pun saya pasti itu memang suara dia.

ISHAK: Selepas dia putuskan talian, apa tindakan puan?

SUZANA: Sebaik meletakkan telefon, saya menghantar SMS kepada Noorhisham. Masa itu saya cakap kenapa sanggup hendak bantu orang dan sanggup tinggalkan saya serta anak-anak.

ISHAK: Apa perasaan kamu ketika itu?

SUZANA: Pada masa itu saya marah, sebab itu saya SMS. Ketika marah saya tidak bercakap, hanya SMS. Selepas SMS itu dihantar Noorhisham ada menelefon saya kembali, tetapi dalam keadaan marah saya tidak mengangkat panggilannya.

ISHAK: Pada 30 Ogos 2010, semasa Noorhisham hantar kamu ke pejabat, dia memakai baju apa?

SUZANA: Memakai kemeja CIMB Islamic berwarna hijau.

ISHAK: Bagaimana dengan jam?

SUZANA: Ada, dia memakai jam jenama Longines.

ISHAK: Bagaimana kamu tahu?

SUZANA: Ia ganjaran CIMB kepada kakitangan berdasarkan pencapaiannya pada 2008.

ISHAK: Jam itu mempunyai kotak?

SUZANA: Ada termasuk kad jaminan tetapi diserahkan kepada pegawai penyiasat.

ISHAK: Apa jenis telefon bimbit yang digunakan Noorhisham dan bagaimana ia diperoleh?

SUZANA: Telefon pintar BlackBerry Bold, ia dibeli suami saya setahun lalu.

ISHAK: Masih ada kotak?

SUZANA: Ada dan ia diserahkan kepada polis.

Suzana yang juga saksi kelapan pihak pendakwaan memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Akhtar di Mahkamah Tinggi di sini, semalam bagi kes pembunuhan membabitkan Sosilawati serta tiga individu lain yang didakwa dibunuh empat tertuduh iaitu bekas peguam, N Pathmanabhan, 42; T Thilaiyalagan, 20; R Matan, 21 dan R Khatavarayan, 31.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah ladang di Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, Selangor, antara jam 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Keempat-empat mereka mengaku tidak bersalah dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Amer Hamzah Arshad, Suzana berkata, laporan polis dibuatnya tidak mengandungi maklumat berhubung masalah ‘gambar’ dihadapi Sosilawati kerana fikirannya yang ketika itu bercelaru.

myMetro | Mohon maaf berulang kali

No comments:

Post a Comment