Wednesday, July 6, 2011

Sindiket edar dadah tumpas



SUNGAI SIPUT – Taktik licik satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu akhirnya terbongkar apabila dua lelaki dipercayai Geng Sesat ditahan di Pekan Jalong, di sini malam kelmarin.

Kedua-dua lelaki berusia 28 dan 33 tahun yang disyaki anggota kumpulan itu ditahan sepasukan anggota diketuai Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, Cif Inspektor Mohd Sufian Saari kira-kira jam 11 malam.

Turut dirampas dalam serbuan itu, 300 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai hampir RM100,000.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, penahanan itu dilakukan anggotanya yang bertindak atas risikan dan maklumat yang diperoleh.

Menurutnya, tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut yang dibuat menemukan polis kepada satu bungkus plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 300 gram.

“Siasatan awal terhadap kedua-dua lelaki berkenaan juga mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya kepada Sinar Harian.

Kedua-duanya mereka kini direman sementara menanti siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,.

Jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Kumpulan yang digelar ‘Geng Sesat’ itu dipercayai menjalankan kegiatan mereka dengan menggunakan taktik ‘sesat jalan’ sewaktu menunggu kehadiran pelanggan.

Mereka dipercayai berpura-pura sesat jalan sebelum menjadikan lokasi berkenaan sebagai tempat pengedaran.

Polis memaklumkan, kegiatan pengedaran yang dilakukan Geng Sesat itu tidak tertumpu di satu kawasan sahaja.
SH

No comments:

Post a Comment