Wednesday, July 6, 2011

Berita gembira temu cucu jadi berita duka

TEMUAN TERAKHIR: Ibu (baju putih) dan ayah kanak-kanak yang ditemui mati di flat mak ciknya awal pagi Ahad lalu hanya sempat menatap wajah anak mereka buat seketika sebelum dibawa pulang ke penjara. -- Foto TUKIMAN WARJI


SINGAPURA
Oleh
Linilidia Abdul Hamid

Satu meninggal dan satu lagi di bawah jagaan MCYS berikutan kes dera 
SETELAH sekian lama mencari, akhirnya seorang nenek mendapat khabar tentang di mana dua orang cucunya berada.Namun, khabar gembira yang dinantikan itu sebaliknya bertukar menjadi duka apabila Cik Timah (bukan nama sebenar) diberitahu bahawa salah seorang cucunya itu telah meninggal dunia.Cucunya, yang berusia lima tahun, disahkan meninggal dunia awal pagi Ahad lalu di rumah mak cik kanak-kanak itu di Teck Whye Lane.Abang kanak-kanak itu, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun, pula kini di bawah jagaan Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS).Mak cik budak-budak itu, 47 tahun, telah diberkas dan dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan mendera kanak-kanak.Nama penuh Cik Timah dan mereka yang berkaitan dengan kes ini tidak dapat disiarkan atas perintah mahkamah bagi melindungi mangsa.Menurut Cik Timah, 72 tahun, beliau terputus hubungan dengan kedua-dua cucunya itu sejak ibu bapa mereka diberkas dan meringkuk dalam penjara.'Saya tahu mereka dijaga mak ciknya, tapi tak tahu di mana rumah mak ciknya tu. Tiba-tiba dapat berita daripada kakak tiri budakbudak tu yang si kecil dah meninggal,' ujarnya.Menurut Cik Timah, beliau telah berusaha mencari mereka setelah menerima surat daripada bapa kededua kanak-kanak itu April lalu, yang meminta beliau atau bapa saudara kededua kanak-kanak itu menjaga mereka.Berita Harian difahamkan si ayah kini menjalani hukuman penjara empat tahun sementara si ibu pula sedang menanti untuk dijatuhi hukuman - kededuanya atas kesalahan dadah.Dalam surat yang dikirimkan kepada keluarga Cik Timah, bapa kededua kanak-kanak itu telah berpesan agar barang-barang di rumahnya, seperti televisyen, dijual untuk meringankan beban mereka menjaga anak-anaknya.'Saya terkilan sebab tak dapat jumpa cucu-cucu saya. Saya fikir setelah saya jumpa mereka, saya nak bawa mereka jenguk ayahnya. Tapi hasrat saya tak kesampaian,' ujar Cik Timah, dengan suara tersekatsekat.Semalam, ibu bapa kanak-kanak itu diberikan pelepasan menziarahi jenazah anak mereka secara berasingan sebelum dia dikebumikan.Kededuanya, yang tidak dapat menahan linangan air mata sebaik sahaja melihat wajah anak mereka, hanya dapat meluangkan sekitar 10 minit melihat anak mereka buat kali terakhir, sebelum mereka dibawa pergi.
Cyberita Online Singapura

No comments:

Post a Comment