ATHENS 5 Julai - Sebuah kapal Kanada yang membawa bekalan perubatan dinaiki lebih 40 aktivis pro-Palestin dipintas pengawal pantai Greece semalam, selepas ia melanggar larangan belayar dari pelabuhan negara ini ke Genting Gaza.
Menurut saksi, kapal 'Tahrir' dilapor meninggalkan pelabuhan di pulau Crete.
Seorang aktivis di Athens memberitahu Reuters, kebanyakan aktivis yang berada di atas kapal itu merupakan rakyat Kanada, Belgium, Perancis, Itali dan Turki.
"Pengawal pantai Greece berjaya memintas kami. Kami pada mulanya cuba melawan, tetapi tiada sesiapa tercedera.
"Mereka mungkin membawa kami kembali ke pulau Crete, tetapi kami tetap mahu ke Gaza. Buat masa ini, kapal kami dirampas, tetapi tiada seorang pun antara kami ditahan," kata aktivis David Heap menerusi panggilan telefon dari kapal 'Tahrir'.
Dalam satu kejadian terbaru hari ini, sebuah kapal Perancis 'Dignite al Karama' bersama lapan aktivis turut mengenepikan larangan belayar oleh Greece apabila meninggalkan perairan negara ini dalam cubaan mencabar sekatan Israel ke atas Genting Gaza. - Reuters/AFP
No comments:
Post a Comment