Wednesday, July 6, 2011

Misteri hantu air tujuh beradik



KULIM - Ada dalam kalangan masyarakat hari ini menolak kewujudan mistik dan dunia alam misteri. Namun, tidak dapat dinafikan kewujudan makhluk itu adalah benar.

Sebelum ini wartawan Sinar Harian, Kulim Bandar Baharu pernah mengemparkan pembaca apabila berjaya merakamkan imej pocong di atas pokok kira-kira jam 12.45 pagi di Kulim Hi Tech dan imej seorang ibu mendukung anak di sekitar kawasan tanah perkuburan berhampiran sebuah gereja lama di Jalan Sungai Lembu kira-kira jam 7 petang beberapa bulan lalu.

Kali ini wartawan Sinar Harian berjaya merakamkan imej hantu air tujuh beradik atau jembalang yang disifatkan sebagai penunggu di sebuah tasik yang terletak di belakang jalan Panchor kira-kira jam 7 petang.

Hasil tinjauan yang dibuat di sekitar kawasan berkenaan mendapati keadaannya sunyi dan dikelilingi tebing curam melebihi 100 meter.

Anehnya tentang tasik itu ialah airnya berwarna biru dan tidak ada sumber air masuk ke dalam tasik itu.

Tujuan Sinar Harian ke tempat itu adalah untuk membuat tinjauan tentang tasik yang ditinggalkan.

Seorang pengamal perubatan tradisional Melayu yang hanya dikenali Pak Dalik berkata, kawasan tasik itu tidak seharusnya didekati kerana ia berpuaka.

Menurutnya, enam imej kecil dan satu imej besar yang berjaya dirakam adalah jembalang yang menjadi penunggu di tasik itu.

Katanya, pembangunan pesat hari ini mengakibatkan banyak bukit dan hutan diterokai dan ini mengakibatkan makhluk halus yang selama ini mendiami tempat itu enggan berpindah ke kawasan lain.

“Tasik itu adalah kawasan peninggalan aktiviti kuari batu suatu ketika dulu. Kita tidak boleh menafikan kewujudan makhluk halus kerana mereka juga dicipta oleh Allah.

“Perjanjian antara mereka dengan Allah untuk menyesatkan semua anak cucu Adam di dunia bermula sejak manusia dijadikan Allah. Apabila makhluk halus mula menunjukkan dirinya, ini bermakna mereka tidak takut dengan kehadiran manusia.

“Makhluk halus seperti ini bukan menjadi penunggu di air, tetapi ia juga menjadikan bukit, hutan dan rimba sebagai tempat mereka. Mereka ini akan menjadi suruhan kepada bomoh dan dukun yang mengamalkan ilmu khurafat bertujuan untuk memudaratkan manusia. Apabila salah satu daripada jembalang ini diseru untuk melaksanakan tugas, mereka akan meminta upah tertentu daripada pihak yang mengarahkan mereka melakukan tugas rasukan itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kulim, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, kewujudan syaitan dan jin sememangnya wujud dan kita harus mempercayainya kerana ia tertulis dalam al-Quran. Selain itu, syaitan boleh menjelma dan menyerupai pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia.

“Sebagai hamba Allah kita tidak boleh meminta bantuan selain Allah. Hari ini ada dalam kalangan bomoh, dukun dan pawang mengamalkan ajaran salah. Memang pada awal bacaannya itu betul tetapi ia kemudiannya dicampuradukkan dengan ayat lain.

“Kemunculan imej pocong itu mungkin benar kerana semua ini adalah permainan syaitan, jin dan iblis. Bagaimanapun, kita yang beragama Islam harus beriman kepada Allah dan jangan sesekali takut atau gentar kepada hasutan syaitan. Kita harus ingat sesuatu yang berlaku adalah ketentuan Allah,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment