Wednesday, July 6, 2011

Bebas daripada hukuman gantung

TIDAK BERSALAH: Encik Ismil (kanan), yang dibebaskan daripada tuduhan bunuh, bersama peguamnya, Encik R. Thurumugam, di luar penjara semalam. -- Foto THE STRAITS TIMES
SINGAPURA

SEORANG lelaki yang telah dijatuhi hukuman mati bersama adiknya kerana membunuh dengan kejam seorang suri rumah di Boon Lay enam tahun lalu dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan semalam.

Hakim V. K. Rajah, yang mengetuai tiga hakim Mahkamah Rayuan, berkata hujah polis bahawa Encik Ismil Kadar, 42 tahun, melakukan pembunuhan itu mengandungi unsur keraguan serius terhadap kebolehpercayaannya.

Beliau menjelaskan pengakuan diperolehi 'dalam keadaan yang menimbulkan kerisauan' dan ia kelihatan lebih kepada tindakan pegawai penyiasat yang sengaja melanggar prosedur berbanding melakukannya secara cuai.

Encik Ismil dan adiknya, Muhammad Kadar, 35 tahun, telah dijatuhi hukuman gantung kerana membunuh dengan kejam Cik Tham Weng Kuen, di flat suri rumah itu di Boon Lay pada Mei 2005, walaupun Muhammad mengaku di mahkamah bahawa hanya dia yang melakukan pembunuhan itu.

Kedua-duanya didapati bersalah pada 2009 membunuh mendiang Cik Tham semasa merompak beliau, yang ditikam dan dikelar lebih 110 kali.

Dalam penghakiman mengandungi kenyataan tegas, Hakim Rajah turut mengkritik pendakwa raya kerana tidak mendedahkan bukti penting kepada peguam bela sehingga lewat perbicaraan.

Antaranya ialah tiga kenyataan yang diberi oleh suami mendiang yang terlantar sakit di katil bahawa beliau nampak hanya seorang penceroboh memasuki rumahnya.

Persoalan mengenai berapa ramai penyerang berada dalam flat itu sewaktu kejadian persoalan penting dalam kes itu.

Apabila perbicaraan bermula pada 2006, pendakwa raya, berdasarkan pengakuan adik-beradik kepada polis, berkata Encik Ismil menyerang Cik Tham sementara Muhammad menggeledah flat itu.

Ini kerana Ismil, yang ditangkap dahulu, telah 'mengaku' menikam Cik Tham. Apabila Muhammad ditangkap kemudian, dia juga memberitahu polis bahawa Encik Ismil yang melakukan pembunuhan itu.

Sewaktu perbicaraan, Muhammad menarik balik kenyataannya itu dan mengaku dia bertindak sendirian serta berkata abangnya itu tidak bersalah.

Peguam bela sebelum ini mengetengahkan beberapa 'isu' mengenai cara kenyataan polis diperolehi.

Mereka berkata pegawai penyiasat melanggar prosedur kerana gagal membaca semula kenyataan Encik Ismil dan mendapatkan tandatangan beliau.

Peguam bela juga berkata Encik Ismil, yang mempunyai darjah kecerdasan (IQ) rendah, hanya menerima cerita yang digambarkan oleh pegawai penyiasat.

Pendakwa raya menegaskan adik-beradik itu berada dalam flat, hujah yang menurut Mahkamah Rayuan 'jauh daripada kenyataan'.

Sementara itu, rayuan Muhammad ditolak Mahkamah Rayuan dan dia akan digantung kerana melakukan pembunuhan itu.

Selepas penghakiman, adik-beradik itu berjabat tangan ringkas.

Cyberita Online Singapura

No comments:

Post a Comment