SHAH ALAM: Suasana pilu menyelubungi kamar Mahkamah Tinggi, semalam apabila isteri Noorhisham Mohamad, seorang daripada empat mangsa pembunuhan termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, tidak dapat menahan sebak ketika diminta mengecam jam tangan Longines milik suaminya.
Suzana Radin Pangat, 39, yang bertugas sebagai pembantu peribadi di Ibu Pejabat CIMB Bank, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, mula mengalirkan air mata ketika melihat jam tangan berjenama diterima suaminya sebagai hadiah pencapaian cemerlang pada 2008. Ibu kepada tiga cahaya mata berusia enam hingga 16 tahun beberapa kali mengesat air mata ketika membelek jam tangan itu sebelum tunduk dan menangis. Malah, wanita yang tampil berbaju kurung corak bunga dengan tudung sedondon itu mula dihimpit emosi menyebabkan suaranya sering tersekat-sekat. Pada awal prosiding, Hakim Datuk Akhtar Tahir turut bertanyakan keadaan emosi Suzana, namun saksi itu memilih untuk menyambung keterangan. Suzana juga beberapa kali terpaksa berhenti seketika untuk menenangkan diri ketika memberi keterangan berhubung panggilan dan pertemuan terakhir dengan Noorhisham, sebelum suaminya menjadi antara empat mangsa pembunuhan kejam di Banting, tahun lalu. Sementara itu, situasi sama berlaku ketika anak ketiga Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Erinawati Sofia, 22, gagal menahan air mata apabila diminta mengecam gambar ibunya, pada prosiding sebelah petang.
Pada peringkat awal, Akhtar turut bertanyakan keadaannya dan saksi yang berbaju kurung merah jambu dan bertudung sedondon itu memilih untuk meneruskan keterangan. Prosiding semalam turut diwarnai keterangan penjual kerepek di Banting, Zurayina Jemaat, 27, yang memberitahu mahkamah dia tidak mengetahui pembunuhan kejam yang membabitkan Sosilawati, 47; Noorhisham, 38; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Wanita itu yang kini tidak lagi bekerja berkata, ini berikutan dia tidak membaca akhbar atau menonton televisyen kerana terlampau sibuk dengan kerja rumah dan menjaga anak-anaknya. Sosilawati dilaporkan membeli kerepek di Kampung Sungai Lang, Banting, pada jam 4 petang, hari sama dia dan tiga lagi individu dibunuh.
Perbicaraan di hadapan Akhtar bersambung hari ini.
No comments:
Post a Comment