Wednesday, July 6, 2011

Pemuda hilang di masjid



KUALA NERANG - Seorang pemuda berusia 21 tahun didakwa kurang waras dipercayai hilang di Masjid Kampung Datok pada 19 Jun lalu.

Sufyan Rosseli dilihat kali terakhir kira-kira jam 6.30 petang berpakaian jubah putih dan berkain pelikat warna hijau.

Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap, Ismail Ibrahim berkata, pihaknya mengedarkan kira-kira 1,000 poster wajah Sufyan di pekan Kuala Nerang dan kawasan sekitar.

Menurutnya, dengan usaha itu, pihaknya berharap pemuda berkenaan dapat ditemui secepat mungkin bagi mengelakkan sesuatu kejadian buruk terjadi.

“Kita mendapat maklumat awal mengenai pemuda ini di mana ada penduduk yang melihat kelibatnya menuju ke Kubang Pasu.

“Bagaimanapun kerjasama awal daripada penduduk setempat dan di daerah-daerah lain juga mampu memberi maklumat supaya pemuda itu dapat ditemui,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengedarkan poster berkenaan di Pasar Pagi Kuala Nerang, dekat sini.

Ismail berkata, difahamkan bentuk tubuh Sufyan adalah kurus dan rendah.

Menurutnya, pemuda berkenaan juga difahamkan menghilangkan diri tanpa membawa sebarang kad pengenalan ataupun dokumen penting.

“Keluarganya berusaha untuk mencari dengan pelbagai cara dan kami rasa terpanggil untuk turut serta membantu serta mencari pemuda berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kepada sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan Sufyan boleh menghubungi talian 019-5086167, 019-4284806 atau balai polis berhampiran.
SH

No comments:

Post a Comment