Wednesday, July 6, 2011

Perhimpunan Bersih di stadium

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bersetuju memilih mengadakan perhimpunan Sabtu ini di stadium selepas mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, semalam.

Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga yang hadir bersama Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin dilihat berada di pekarangan istana seawal jam 1.30 tengah hari sebelum dibenarkan masuk kira-kira setengah jam kemudian.


Beliau yang ditemui wartawan sebaik keluar dari istana jam 3.15 petang berkata, pihaknya bersedia mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di dalam stadium, bukan di jalanan seperti dirancang sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya belum menentukan stadium akan digunakan, tetapi tarikh tidak berubah.


“Setakat ini itu saja maklumat dapat saya kongsi hasil pertemuan dengan Tuanku sebentar tadi dan sebarang perkembangan terkini berhubung perhimpunan itu akan diberitahu pada sidang media esok (hari ini),” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam kenyataannya berkata, polis masih menunggu permohonan rasmi penganjur perhimpunan Bersih yang dikatakan mahu meneruskan perhimpunan dalam stadium.

Katanya, sebarang keputusan berhubung permit dan perhimpunan itu akan diputuskan berdasarkan kepada ketenteraman awam dan keselamatan rakyat mengikut Seksyen 27, Akta Polis 1997.


“Kami menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong mengenai pembatalan perarakan dan perhimpunan jalanan yang dirancang jawatankuasa Bersih,” katanya.

myMetro | Perhimpunan Bersih di stadium

No comments:

Post a Comment