Wednesday, July 6, 2011

Gerabak kereta api tergelincir



JITRA- Dua gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad) yang membawa papan lapis dan kayu getah tergelincir dari landasan kereta api di Kampung Baru, Tunjang di sini semasa dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis menuju ke Alor Setar petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, difahamkan dua gerabak yang mengandungi tiga kontena berisi papan lapis dan kayu getah itu tergelincir semasa dalam perjalanan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mohd Isa berkata, bagaimanapun pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.05 petang dan tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian dengan kekuatan anggota seramai lapan orang.

“Kita datang sebagai persediaan jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini akibat insiden itu namun, setelah diperiksa tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, seorang remaja yang juga saksi kejadian itu, Mohd Amirul Amran, 14, berkata, kira-kira jam 4 petang dia terkejut selepas mendengar bunyi yang kuat dari arah landasan kereta api berkenaan.

Menurutnya yang tinggal kira-kira 500 meter dari tempat kejadian berkata, dia yang ketika itu sedang menonton televisyen segera mengambil basikal dan menuju ke arah landasan kereta api berkenaan untuk melihat apa yang berlaku.

“Semasa tiba di tempat kejadian saya lihat kereta api itu tidak lagi bergerak dan pemandunya sudah turun dari kenderaan terbabit.

“Selepas melihat beberapa gerabak kereta api itu tergelincir, saya segera pulang ke rumah untuk memberitahu orang kampung mengenai kejadian yang berlaku.

“Sepanjang tinggal di sini, ini adalah kejadian pertama kali yang pernah saya lihat berlaku di sini,” katanya.

Bagaimanapun ketika tinjauan di sekitar lokasi kejadian, Sinar Harian mendapati terdapat beberapa kakitangan KTM Berhad sedang memeriksa gerabak berkenaan dan kawasan itu ditutup untuk orang ramai buat sementara waktu.
SH

No comments:

Post a Comment