Wednesday, July 6, 2011

Yingluck dibayangi Thaksin



Duta Amerika ke Thailand Kristie Kenney (kiri) mengucapkan tahniah kepada Yingluck Shinawatra atas kemenangan Parti Phue Thai di sebuah hotel di Bangkok, kelmarin. - AFP


BANGKOK 5 Julai - Thailand bakal mendapat Perdana Menteri wanita pertama tidak lama lagi tetapi pemerhati berkata, kemenangan Yingluck Shinawatra sebagai proksi abangnya, Thaksin tidak boleh dilihat sebagai kemajuan besar dalam perjuangan menegakkan hak-hak wanita di negara ini.

Yingluck yang boleh dikatakan tidak dikenali dua bulan lalu memimpin Parti Pheu Thai untuk memperolehi kemenangan besar dalam pilihan raya kelmarin, tetapi populariti beliau yang melonjak itu banyak berpunca daripada Thaksin, bekas Perdana Menteri yang mendalangi parti itu dari luar negara.

Justeru itu, para pejuang hak asasi wanita di Thailand keberatan untuk melihat kemenangan Yingluck sebagai satu kejayaan dalam menuntut persamaan hak.

Kata mereka, kemenangan adik bongsu Thaksin itu bukanlah kejayaan sebenar dalam memecah halangan kepada kemajuan wanita tetapi lebih merupakan hasil menumpang pengaruh seorang lelaki.

"Apa yang hendak kita banggakan? Seluruh dunia mengetahui segala-galanya berpunca daripada Thaksin.

"Bandingkan kedudukannya dengan Aung San Suu Kyi yang sudah berjuang selama 20 tahun tetapi masih belum dapat menjadi Perdana Menteri Myanmar," kata Pengarah Institut Penyelidikan Pembangunan dan Gender (GDRI) Thailand, Sutada Mekrungruengkul, yang merujuk kepada ikon prodemokrasi negara jiran yang dipinggirkan oleh tentera.

Yingluck yang berjanji untuk memulihkan dasar-dasar populis yang dilaksanakan semasa abangnya menjadi Perdana Menteri, dilihat mematuhi segala arahan Thaksin, malah digambarkan oleh abangnya itu sebagai 'klonnya'.

"Tidak syak lagi Yingluck memenangi pilihan raya ini kerana beliau adalah adik perempuan Thaksin," kata pakar mengenai politik Thailand di Universiti Kebangsaan Australia, Canberra, Andrew Walker. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment