Wednesday, July 25, 2012

Rayu kesan anak OKU

MOHD. Saad Hashim menunjukkan kad pengenalan Mahmood yang menghilangkan diri sejak awal bulan lalu sambil diperhatikan oleh Intan Baharom di Alor Setar, Kedah, semalam.
ALOR SETAR 23 Julai - Seorang warga emas dari Kampung Tanjung Inggeris, Langgar di sini merayu bantuan orang ramai mengesan anak bongsunya yang menghilangkan diri sejak dua minggu lalu.
Wanita tersebut, Intan Baharom, 82, yang sakit tua bimbang dengan keselamatan dan kesihatan Mahmood Hashim, 50, berikutan keadaannya yang terencat akal sejak kecil.
Menurut Intan, dia amat merindukan anak lelakinya itu yang menghilangkan diri sejak keluar dari rumah kira-kira pukul 6 pagi, 6 Julai lalu.
"Setiap masa saya teringatkan dia, lebih-lebih lagi pada bulan puasa dan sambutan Aidilftri tidak lama lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Sementara itu, abang kepada Mahmood, Mohd. Saad Hashim, 60, memberitahu, adiknya itu pernah menghilangkan diri selama hampir lima bulan, empat tahun lalu bagaimanapun pulang ke rumah dengan selamat.
"Semasa hilang kali pertama, ada seorang saudara menemuinya di Johor tetapi Mahmood melarikan diri sebaik diberitahu mahu dibawa ke balai polis.
"Tetapi alhamdulillah akhirnya dia pulang dengan sendiri setelah hampir lima bulan hilang entah ke mana," ujarnya sambil memberitahu Mahmood tidak tahu membaca selain pertuturannya tidak difahami.
Kata Mohd. Saad, baru-baru ini dia ada mendapat maklumat daripada seorang penduduk kampung yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Shah Alam mengatakan ternampak Mahmood di sana.
"Saya pun tidak tahu betul ke tidak tetapi saya rayu orang ramai yang nampak Mahmood agar menghantarnya ke balai polis berdekatan," jelasnya.
Sesiapa yang menemui dan mempunyai maklumat tentang Mahmood boleh menghubungi Mohd. Saad di talian 04-7878102 atau 019-435 9607.

No comments:

Post a Comment