Wednesday, July 25, 2012

Tiga keluarga bersesak dalam rumah usang

AHMAD Jazlan Yaakub (kanan) melihat keadaan rumah Idris Zakaria yang usang di Kampung Pangkal Meleret, Machang, baru-baru ini.
MACHANG 23 Julai - Kesusahan hidup tiga keluarga yang terpaksa tinggal berhimpit-himpit di dalam sebuah rumah usang di sini akan terungkai selepas keadaan mereka mendapat perhatian UMNO bahagian ini.
Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub ketika mengunjungi rumah terbabit sempena Program Juara Rakyat 1Malaysia di Kampung Pangkal Meleret, dekat sini yang berakhir kelmarin, berjanji akan mendapatkan sebuah rumah yang lebih selesa untuk keluarga berkenaan.
“Insya-Allah kita akan usahakan mengikut kemampuan bagi meringankan beban keluarga terbabit. Kita amat simpati dengan keadaan mereka yang terpaksa tinggal berhimpit bersama tiga keluarga dalam sebuah rumah.
“Tiga keluarga melibatkan 13 penghuni, ini jelas amat tidak menyelesaikan terutamanya buat anak-anak yang masih kecil," katanya ditemui selepas membuat kunjungan terhadap keluarga berkenaan di sini kelmarin.
Sementara itu, ketua keluarga terbabit, Idris Zakaria, 63, memberitahu, dengan pendapatan tidak seberapa hasil mengambil upah menoreh getah, dia tidak mampu menyediakan sebuah rumah baru untuk keselesaan keluarganya.
Justeru, dia terpaksa berkongsi hidup bersama anaknya yang sudah kahwin, tetapi tidak mampu hidup sendiri akibat tekanan kemiskinan.
“Mereka pun cuma kerja kampung, hendak hidup sendiri dengan cara menyewa tak mampu, maka mereka tinggal dengan saya di rumah usang ini, saya tak kisah.
“Rumah ini pun adalah hasil bantuan kerajaan sejak lebih 20 tahun lalu. Sekarang ini telah banyak bocor.
“Kalau hujan, hampir semua ruang rumah ini tiris, jadi kita kena tadah bagi mengelak lantai jadi basah yang boleh menyebabkan ia menjadi reput," katanya.
Tambah Idris, banyak bahagian rumah kayu itu yang repuk dan boleh mengundang bahaya apatah lagi ketika tinggal dalam keadaan sesak seperti sekarang.
Dia melahirkan rasa sangat terharu dengan kehadiran pimpinan UMNO Bahagian berkenaan yang berjanji akan berusaha mendapatkan sebuah rumah baru untuk mereka sekeluarga.

No comments:

Post a Comment