Wednesday, February 13, 2013

Dr Pornthip tarik diri bedah mayat Sugumaran



Kuala Lumpur: Pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand menarik diri daripada membuat bedah siasat kedua ke atas mayat pengawal keselamatan, C Sugumuran, 40, yang didakwa mati ketika dalam tahanan polis, 23 Januari lalu.

Keputusan itu dimaklumkan kepada peguam, Latheefa Koya yang mewakili keluarga mendiang melalui e-mel, pagi semalam, sambil menjelaskan terpaksa menarik diri atas alasan peribadi, namun tidak menjelaskannya secara terperinci.
Perkembangan itu mungkin menyebabkan bedah siasat ditangguhkan sehingga pengganti Dr Pornthip yang juga bekas Pengarah Institut Sains Forensik Pusat (CIFS) Thailand berjaya diperoleh.

Latheefa ketika dihubungi memaklumkan agak terkejut dengan keputusan pakar forensik itu yang pernah bekerjasama dengan pihaknya, dalam memantau prosedur inkues kematian pembantu politik Exco Selangor, Tan Beng Hock pada 2009.

“Dr Pornthip sebelum ini bersetuju bekerjasama dengan kita sekiranya beliau sendiri mengendalikan bedah siasat itu kerana enggan menjadi doktor pemerhati,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam kejadian 23 Januari lalu, Sugumaran ditahan selepas mengamuk hingga mengancam keselamatan orang awam di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, namun mendiang tiba-tiba rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian dengan kedua-dua tangannya bergari sebelum dihantar ke Hospital Serdang.

Hasil bedah siasat mengesahkan lelaki itu meninggal dunia akibat serangan jantung, namun keluarganya tidak berpuas hati dengan punca kematian mendiang yang didakwa meragukan, selain meminta kejadian berkenaan disiasat secara terperinci.

No comments:

Post a Comment