Wednesday, February 13, 2013

Korea Utara buat ujian nuklear




REUTERS 
TANGAN Pengarah Bahagian Pemantau Tsunami dan Gempa Bumi Agensi Meteorologi Jepun, Akira Nagai memegang alat petunjuk pada tanda X yang merupakan lokasi Korea Utara melakukan ujian nuklear pada satu sidang akhbar di Tokyo semalam.


WASHINGTON - Beberapa pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS) menyatakan satu ujian nuklear yang dilakukan Korea Utara mungkin sekuat beberapa kilotan.
Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan AS menyatakan dalam satu kenyataan semalam bahawa Korea Utara mungkin melaksanakan ujian nuklear bawah tanah di pekarangan P'unggye.
Menurut kenyataan itu, analisis ujian tersebut masih dilakukan.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan menyatakan, ia mengesan letupan nuklear itu dianggarkan sekuat enam hingga tujuh kilotan.
Presiden AS, Barack Obama menganggap tindakan Korea Utara itu merupakan satu provokasi yang kuat.
Obama berkata, ia mengancam keselamatan AS dan keamanan antarabangsa.
Sementara itu, China memanggil seorang duta Korea Utara untuk menyuarakan bantahannya terhadap ujian itu.
Menurut Beijing, Pyongyang meneruskan ujian itu walaupun ia mendapat bantahan meluas daripada masyarakat antarabangsa.
Beberapa agensi yang mengesan gegaran gempa bumi di rantau Asia Timur mendapati terdapat gegaran sekuat 4.9 dan 5.1 pada skala Richter pada pukul 11.57 pagi waktu tempatan.
Pusat gegaran itu dikesan di lokasi ujian nuklear tersebut.
Pentadbiran Gempa Bumi China menyatakan ia mengesyaki berlaku satu letupan.
Agensi gempa bumi di Korea Selatan dan Jepun merumuskan gegaran tersebut kemungkinan disebabkan ujian nuklear.
Agensi Kajian Geologi AS memberitahu, kedalaman pusat gegaran itu hanya satu kilometer. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2KjYXrQaG 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment