Wednesday, February 13, 2013

Pyongyang tunjuk degil



Seoul: Korea Utara berkata, ujian nuklear dijalankan semalam hanyalah langkah “pertama” dan memberi amaran, tindakan lebih keras bakal diambil jika negara itu berdepan sekatan lebih ketat.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Korea Utara, langkah pertama itu diambil dengan amat berhati-hati. “Jika AS terus menyukarkan keadaan dengan meneruskan permusuhan, kami tidak ada pilihan kecuali bertindak lebih keras untuk pusingan kedua atau ketiga,” katanya.


Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan.

Kenyataan itu dikeluarkan hanya beberapa jam selepas ketua agensi perisikan Korea Selatan memberi amaran, Pyongyang mungkin menjalankan ujian nuklear atau peluru berpandu dalam tempoh beberapa hari atau minggu lagi. Semalam, Korea Utara berkata, ujian itu dijalankan dengan menyasarkan AS.


Pyongyang berkata, Washington menghasut komuniti antarabangsa mengecam program nuklearnya serta mengetuai usul sekatan di Majlis Keselamatan PBB. Kementerian Luar berkata, sebarang tindakan, termasuk pemeriksaan kapal secara paksa atau sekatan laut akan dianggap sebagai “tindakan perang” dan boleh mendorong “tindak balas tanpa perikemanusiaan.” Kata kementerian itu, AS perlu memilih antara meredakan ketegangan atau meneruskan dasar silapnya ketika ini dengan memusuhi Korea Utara serta meningkatkan ketegangan. Majlis Keselamatan PBB dijangka bertemu dalam sesi tergempar lewat malam tadi bagi membincangkan tindak balas terhadap ujian berkenaan. Di Pretoria, Afrika Selatan, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, menggesa Pyongyang melupakan program senjata nuklear dan kembali berunding selepas mereka mengingkari resolusi PBB dengan menjalankan ujian nuklear semalam. “Meningkatkan ketegangan ketenteraan di rantau itu sangat berbahaya,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment