bendera thailandBANGKOK - THAILAND. Industri pelancongan Thailand masih dalam keadaan menyusut namun mencatatkan sedikit peningkatan berdasarkan statistik bulan Ogos yang merekodkan 2.706 juta ketibaan.
  
Angka itu jatuh 11.9 peratus berbanding bulan sama tahun lepas, akan tetapi meningkat 3.7 peratus berbanding Julai tahun ini.
  
Pengarah Kanan Bank of Thailand Roong Mallikamas berkata sektor pelancongan pada Ogos meningkat beransur-ansur memandangkan pelancong China, iaitu pasaran utama, sudah kembali walaupun pasaran lain belum pulih secara signifikan.
  
Bagi tempoh Januari-Ogos, sebanyak 15.703 juta pelawat asing tiba di Thailand, merosot 10.66 peratus.
  
Angka itu meliputi 8.948 juta dari Asia Timur, 4.125 juta dari Eropah dan 720,352 pelancong Amerika, manakala dari Asia Selatan sebanyak 792,167 orang, Oceania (628,403), Timur Tengah (383,866) dan Afrika 104,689 orang.
  
Perbelanjaan pelancong bagi tempoh itu susut 7.8 peratus kepada 724.747 bilion baht, menurut Jabatan Pelancongan.
 
Tahun lepas, 26.547 juta pelancong melawat Thailand, namun tahun ini angka dijangka lebih rendah. - Bernama