Wednesday, October 1, 2014

Anwar Kekal Penasihat Ekonomi Selangor - MB


Diterbitkan: Rabu, 1 Oktober 2014 3:35 PM

SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah dipecat daripada kedudukan jawatan Penasihat Ekonomi Selangor dan khidmatnya akan diteruskan seperti biasa.

Penjelasan itu ditegaskan Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali selepas beliau dan barisan Exconya meneliti minit mesyuarat terakhir yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 22 September lalu.

"Kita meniliti minit mesyuarat Exco yang lalu, apa yang diputuskan oleh Tan Sri Khalid ialah untuk menutup pejabat penasihat ekonomi.

"Jadi tidak timbul soal pemecatan penasihat ekonomi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan SUK di sini, Rabu.

Malah menurut Azmin, Anwar akan diberikan semua kemudahan yang diterimanya sebelum ini termasuk ruang pejabat bagi memudahkan beliau memainkan peranannya.

"Sekarang kita akan bincang semula fungsi dan peranan penasihat ekonomi untuk membantu pembangunan ekonomi di Selangor.

Sudah tentu kita akan memberikan kemudahan-kemudahan termasuk pejabat sesuai dengan peranan yang akan dimainkan," katanya.

Sebelum ini bekas Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor, Faekah Husin mengumumkan penutupan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor berkuat kuasa serta-merta bagi menjimatkan kos pentadbiran kerajaan negeri.

Jelas Faekah, pelbagai fitnah dan kontroversi ditimbulkan antara lain tentang gaji yang diterima oleh Anwar serta peranan dan sama ada sumbangan beliau kepada kerajaan negeri Selangor sesuai dengan jawatan yang disandang.
mstar

No comments:

Post a Comment