Wednesday, October 1, 2014

Lukisan Imelda dirampas


Manila: Pihak berkuasa mula merampas hasil seni Picasso, Gauguin, Miro, Michelangelo dan ramai lagi pelukis ternama yang dimiliki Imelda Marcos semalam selepas mendapat arahan daripada mahkamah.

Pasukan polis dan peguam menggeledah rumah serta pejabat bekas wanita pertama itu selepas mahkamah menyerahkan hasil seni berharga yang dimilikinya kepada kerajaan. Rampasan itu dibuat sehari selepas sebuah mahkamah memutuskan lapan keping lukisan dimiliki janda diktator Ferdinand Marcos itu diperoleh melalui dana negara yang diselewengkan. Justeru, ia mesti dipulangkan kepada kerajaan. Jurucakap agensi yang bertanggungjawab terhadap perkara itu, Nick Suarez berkata, semua hasil seni berkenaan mula dirampas semalam.


“Kami belum dapat menganggarkan nilai semua lukisan itu,” katanya.



Antara lukisan dalam simpanan Imelda sebelum ini ialah Femme Couchee VI (Reclining Woman VI) dihasilkan Pablo Picasso dan Madonna and Child (Michelangelo).


Imelda, 85, dikenali sebagai wanita yang memiliki selera besar dan tinggi.


Dia menguasai pelbagai kemewahan termasuk memiliki 3,000 pasang kasut mahal serta barang kemas seperti kerabat diraja Eropah. Sementara itu peguam Imelda, Robert Sison berkata, rayuan akan dibuat berhubung keputusan mahkamah itu.

Sison menyifatkan keputusan mahkamah tidak sah kerana ia tidak termasuk dalam kes yang difailkan kerajaan terhadap keluarga Marcos sebelum ini.


Secara keseluruhan, Filipina kini sedang mengesan 150 lukisan dihasilkan pelukis terkenal dunia yang didakwa dikumpul keluarga Marcos sepanjang 20 tahun pemerintahannya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/01

No comments:

Post a Comment