Wednesday, October 1, 2014

Penunjuk perasaan Hong Kong enggan undur


SEBUAH bas terkandas selepas disekat oleh ribuan penunjuk perasaan prodemokrasi di Hong Kong, semalam. - REUTERS
HONG KONG 30 Sept. - Beribu-ribu penunjuk perasaan prodemokrasi mengingkari desakan pemimpin Hong Kong untuk menghentikan bantahan, sebaliknya terus membanjiri ibu kota ini dan menghalang laluan utama pengangkutan awam.
Penunjuk perasaan berkeras mahu meneruskan demonstrasi yang diadakan sejak kelmarin sehingga Beijing melaksanakan demokrasi sepenuhnya kepada wilayah autonomi ini, yang diberikan status sebagai Wilayah Pentadbiran Khas oleh kerajaan China.
Dalam kenyataan umum pertama sejak demonstrasi itu bermula kelmarin, Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying berkata, tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh kumpulan prodemokrasi, Occupy Central kini di luar kawalan.
"Pengasas kumpulan tersebut pula berulang kali berkata jika gerakan itu sudah tidak terkawal, mereka akan menghentikannya.
"Kini saya meminta mereka menunaikan janji yang diberikan kepada masyarakat dan menghentikan kempen tersebut dengan serta-merta," katanya.
Bagaimanapun pemimpin penunjuk perasaan menolak tuntutan Chun-ying sambil mengulangi desakan mereka untuk melihat pemimpin Hong Kong tersebut meletak jawatan selewat-lewatnya esok.
Pengasas bersama Occupy Central, Chan Kin-man berkata, jika Chun-ying berundur, demonstrasi akan dihentikan buat sementara dalam tempoh tertentu dan mereka akan merancang tindakan yang seterusnya.
Sementara itu, sekolah terpaksa ditutup sekali lagi hari ini dan pengangkutan awam termasuk komuter, teksi dan bas terjejas atau terpaksa ditangguhkan ekoran tindakan penunjuk perasaan menghalang laluan utama. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141001/lu_04/Penunjuk-perasaan-Hong-Kong-enggan-undur#ixzz3Eq2v5s61
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment