Sunday, August 30, 2015

Arahan Henti Tiup Vuvuzela Tidak Diendah, Penganjur Bersih 4 'Pening'


Diterbitkan: Ahad, 30 Ogos 2015 10:30 AM

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Bersih 4.0 dicacatkan dengan tiupan vuvuzela yang menghasilkan bunyi bising hingga menjejaskan aktiviti yang disediakan penganjur.
Sejak kumpulan ‘orang kuning’ mula memenuhi kawasan sekitar Dataran Merdeka seawal pukul 1 tengah hari Sabtu, tiupan vuvuzela kedengaran mencuri tumpuan peserta yang hadir.
Lebih menjejaskan apabila bunyi bising berkenaan menghalang orang ramai mendengar ucapan pimpinan Bersih 4.0 dan pemimpin pembangkang.
Sesekali penganjur terpaksa membuat pengumuman meminta supaya vuvuzela tidak ditiup kerana mengganggu perjalanan perhimpunan.
Bagaimanapun nasihat dan permintaan penganjur tidak diendahkan peserta.
Tinjauan mStar Online mendapati vuvuzela dijual dengan harga RM5 oleh peniaga jalanan di beberapa lokasi.
Tiupan berkenaan berlarutan sehingga awal pagi Ahad.
Bunyi bising berkenaan turut tidak disenangi oleh peserta Bersih 4.0 apabila mereka mula mengambil inisiatif menaikkan poster meminta supaya vuvuzela tidak ditiup pada hari kedua perhimpunan gergasi ini.
Antara peringatan yang dibuat berbunyi ‘jangan tiup vuvuzela, mari kita sembang’ dan ‘hi kawan, kami bukan datang Bersih 4.0 untuk dengar vuvuzela’.

No comments:

Post a Comment