Sunday, August 30, 2015

Mesir penjarakan 3 wartawan Al-Jazeera


DARI kiri, produser warga Mesir, Baher Mohammed; wartawan Australia, Peter Greste dan warga Kanada, Mohammed Fahmy ketika sesi perbicaraan pada 31 Mac tahun lalu. - Foto AP
KAHERAH: Mahkamah Mesir menjatuhi hukuman tiga tahun penjara terhadap tiga wartawan Al-Jazeera kerana didapati bersalah menyiarkan berita palsu.
Keputusan terhadap wartawan berbahasa Inggeris itu disifatkan akan menyebabkan kritikan keras antarabangsa terhadap kebebasan bersuara di Mesir dan pemerintah yang diketuai Presiden, Abdel-Fattah el-Sissi.
Ketiga-tiga kru penyiaran itu akan memohon pengampunan daripada El-Sissi, yang secara peribadi menyatakan kekesalannya kerana perbicaraan kes itu mengambil masa terlalu lama sehingga merosakkan imej Mesir di mata dunia.
Al Jazeera pula bersedia untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu sebaik mahkamah memberikan keputusan penghakiman penuh dalam masa 30 hari lagi.
Warga Kanada, Mohammed Fahmy, wartawan Australia, Peter Greste dan produser warga Mesir, Baher Mohammed menyiarkan laporan mengenai konflik politik yang lebih meruncing antara Mesir dan Qatar, di mana Al-Jazeera berpangkalan susulan rampasan kuasa oleh tentera untuk menggulingkan bekas Presiden, Mohammed Morsi.
Hukuman itu dikeluarkan hanya seminggu selepas El-Sissi menguatkuasakan satu undang-undang baharu antipengganas yang memperluaskan lagi definisi mengenai keganasan dan bentuk hukuman termasuk wartawan.
Greste, yang sudah dihantar balik memberitahu Al-Jazeera dari Sydney bahawa beliau percaya rayuan terhadap kes itu boleh menterbalikkan hukuman itu.
Fahmy dan Mohammed, kedua-duanya yang hadir di mahkamah semalam, terus dibawa oleh polis selepas pendengaran hukuman.
"Kami tidak melanggar sebarang undang-undang, kami tidak langsung melanggar etika, aktiviti dilarang atau tidak bermoral," kata Greste sambil menambah kes terhadap mereka adalah jelas bermotif politik. - AP

No comments:

Post a Comment