KUALA LUMPUR: Satu pemandangan luar biasa pertama kali dapat dilihat di ibu negara apabila ribuan rakyat tidur bergelimpangan sama ada di kaki lima mahupun di tengah-tengah jalan raya.
Tinjauan mStar Online di setiap sudut sama ada di hadapan bangunan Panggung Bandaraya, perkarangan Dataran Merdeka, Jalan Raja, Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman mendapati ia dipenuhi dengan peserta Bersih 4.0.
Semuanya ternyata sudah bersiap sedia untuk memastikan matlamat untuk berhimpun selama 34 jam menjadi kenyataan apabila mereka hadir membawa ‘sleeping bag’, khemah mahupun tikar sebagai alas untuk tidur.
Terdahulu sekitar pukul 12.45 tengah malam Sabtu, sekumpulan aktivis Bersih 4.0 turut mengedarkan makanan lewat malam secara percuma kepada peserta.
Bagi Jack S, 28, dari Sarawak, dia begitu teruja menyaksikan perhimpunan berkenaan berlangsung dalam keadaan aman.
Dia yang pertama kali menyertai demonstrasi jalanan seperti ini berkata, tidur di jalanan secara beramai-ramai memberi pengalaman baharu buatnya.
"Saya tak rancang untuk tidur, hanya datang untuk sertai Bersih 4.0. Tapi apabila melihat suasana yang begitu tenang dan aman, saya dan rakan memilih untuk sama-sama bermalam di sini," katanya.
Jack ditemui ketika bersama-sama rakan dari semenanjung yang baharu dikenalinya.
Mereka sama-sama menyanyikan pelbagai lagu dengan diiringi petikan ukulele oleh individu yang hanya mahu dikenali sebagai Ahnaf yang datang dari Bukit Katil, Melaka.
Jack yang berbangsa Iban berkata dia berasa cukup senang apabila kehadirannya di sambut baik dengan masyarakat pelbagai kaum yang di sini.
No comments:
Post a Comment