SUNGAI BESAR: Tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri perhimpunan Bersih 4 semalam amat mengecewakan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata Dr Mahathir telah melanggar prinsip beliau sebelum ini yang menolak demonstrasi jalanan ketika krisis pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 ketika Dr Mahathir memegang tampuk pemerintahan tertinggi negara.
"...tetapi disebabkan benci Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak) dia (Dr Mahathir) sanggup bersekongkol dengan DAP yang berniat nak hancurkan parti.
"Walaupun kehadirannya ke perhimpunan itu sekejap tetapi beliau suruh peserta perhimpunan teruskan dan menggalakkan mereka terus berada di sana," katanya dalam sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini, Ahad.
Turut hadir ketua UMNO bahagian itu Datuk Jamal Md Yunos, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi dan ADUN Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak.
Salleh berkata dalam setiap organisasi hanya terdapat seorang ketua dan apabila Najib telah dipilih sebagai presiden UMNO seharusnya semua anggota parti memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau.
"Tidak semestinya semuakita (pemimpin) lakukan betul dan dipersetujui tetapi prinsipnya bila nombor satu (presiden) buat keputusan kita kena ketepi pandangan peribadi untuk laksana apa yang diputuskan oleh presiden.
"Dahulu, Dr Mahathir lakukan perkara sama di Sabah mengenai penggiliran jawatan Ketua Menteri di mana beliau putuskan setiap dua tahun ketua menteri Sabah perlu ditukar. Walaupun ketika itu seluruh UMNO Sabah tidak setuju tetapi kita beralah dan akur dengan keputusan beliau kerana beliau presiden parti (ketika itu)," katanya yang juga bekas Ketua Menteri Sabah.
Sehubungan itu, Salleh berkata Dr Mahathir perlu mengekalkan prinsip berkenaan tetapi tindakan bekas perdana menteri itu yang tetap berterusan 'menyerang' Najib sangat bertentangan dengan pendirian beliau sebelum ini.
"Saya hormati Tun (Dr) Mahathir yang turut berkongsi tarikh lahir dengan saya dan saya juga pernah dilantik Ketua Menteri Sabah tetapi kita tidak boleh paksa pendapat kita diterima orang lain dan mengatakan pendapat kita sahaja betul.
"Kita dengar semua pendapat tetapi yang buat keputusan tetap nombor satu (Najib). Dulu tidak ada media sosial tetapi sekarang media biasa bersaing dengan media sosial...sebab itu penting kita sokong Najib bukan secara peribadi tetapi sebagai presiden parti," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Salleh berkata pembangkang tidak sepatutnya menggunakan demonstrasi jalanan untuk menyerang kerajaan sebaliknya ia harus dizahirkan melalui pilihan raya umum (PRU).
Bagaimanapun, katanya, walaupun menerima pelbagai tekanan perdana menteri tetap mengamalkan keterbukaan apabila memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman yang memberi peluang rakyat berhimpun dengan bersyarat.
"Kalau berani, tunggu PRU yang merupakan tempat rakyat tentukan kuasa bukannya dengan adakan demonstrasi. Kita tengok siapa yang rakyat sokong dan jika kita di pihak yang benar pasti rakyat akan bersama kita.
"Yang penting sekarang ialah UMNO kena kuatkan organisasi kita kerana bila kuasa sudah hilang tidak berguna lagi. UMNO jelas pejuang agama, bangsa dan negara," katanya.
No comments:
Post a Comment