KUALA LUMPUR: Seorang ahli farmasi kerugian lebih RM80,000 selepas disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di Taman Manjalara, Kepong, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa baru keluar dari rumahnya untuk ke tempat kerja ditahan seorang daripada tiga lelaki sebelum diarahkan menyerahkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux miliknya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 40 tahun tidak dicederakan.
Katanya, mangsa dipercayai diugut untuk dicederakan jika enggan mematuhi arahan mereka menyebabkan mangsa terpaksa menyerahkan kunci kenderaannya kepada suspek.
“Suspek masuk ke dalam kenderaan mangsa dan melarikannya. Suspek tidak bersendirian kerana dua lagi rakannya menaiki Proton Waja. “Berikutan itu, mangsa ditinggalkan di tepi jalan mengalami kerugian lebih RM80,000,” katanya ketika dihubungi semalam.
Zakaria berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.
No comments:
Post a Comment