Saturday, July 16, 2011

Polis boleh tembak jika munasabah

SHAH ALAM: Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Razali Basri memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, semalam, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibenarkan melepaskan tembakan dalam keadaan munasabah.

Saksi pembelaan ketiga perbicaraan kes kematian Aminulrasyid Amzah itu berkata, keadaan itu berdasarkan kepada Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGPSO) yang menjadi panduan berhubung penggunaan senjata api di kalangan anggota polis.


Menurutnya, tindakan polis melepaskan tembakan dalam keadaan munasabah juga dilindungi undang-undang.

“Perenggan keempat IGPSO menyatakan tindakan yang boleh diambil seseorang anggota polis dalam keadaan yang dinyatakan mestilah munasabah. Setiap anggota polis tidak perlu bimbang terhadap tindakan undang-undang dalam perkara ini.


“Asalkan mereka tidak sengaja atau sebab-sebab munasabah, membunuh seseorang dalam keadaan mereka percayai tidak dapat menangkap orang itu hidup-hidup tanpa risiko kematian atau cedera parah terhadap diri sendiri atau orang lain,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam bela, M Athimulan pada perbicaraan kes Koperal Jenain Subi, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, di Seksyen 11, di sini, tahun lalu. Bapa kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Aminulrasyid disahkan maut akibat luka tembakan di kepala.


Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, Idham Abd Ghani dan Adilla Ahmad.

Selain Athimulan, tertuduh turut diwakili Salim Bashir. Terdahulu, mengulas keadaan yang dikatakan munasabah, Razali berkata, ia bergantung kepada anggota polis berkenaan.


Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani, Razali berkata, tindakan anggota unit kereta peronda (MPV) melepaskan tembakan terhadap kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas adalah tidak wajar. Bagaimanapun, katanya, anggota MPV boleh menggunakan senjata api dalam keadaan tertentu yang memerlukan mereka berbuat demikian. “Pada pendapat saya, jika kenderaan itu melanggar lampu merah, menghala ke arah orang ramai atau lintasan pejalan kaki. Polis kena menghentikan kenderaan itu dengan apa cara sekali pun (termasuk melepaskan tembakan),” katanya. Saksi sama juga bersetuju dengan cadangan Idham bahawa mengadakan sekatan jalan untuk menahan sesebuah kenderaan yang melanggar undang-undang jalan raya adalah lebih selamat berbanding melepaskan tembakan. Bagaimanapun, katanya, satu MPV tidak mencukupi untuk mengadakan sekatan jalan. Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung Jumaat depan.

myMetro | Polis boleh tembak jika munasabah

No comments:

Post a Comment