Saturday, July 16, 2011

Parut makin besar

KUALA BERANG: “Lin bukan sengaja ingkar arahan tidak mahu memakai topeng, tetapi dia rimas dan gatal apabila mukanya tertutup rapat,” kata Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29, mengulas anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9, yang enggan memakai topeng sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, kesan lecuran di muka anaknya itu semakin ketara dan membesar terutama di bahagian hidung, pipi dan bawah mata selain di dada sejak menjadi mangsa simbahan asid bapanya, Mat Haizan Mat Yasin, 33, dalam kejadian 15 Ogos tahun lalu.


Mat Haizan yang berang dengan permohonan Che Ku Zaimah mahu bercerai menyimbah asid kepada wanita berkenaan, namun tempiasnya turut terkena Nurul, adiknya Muhammad Irfan Firdaus, 3, dan nenek, Minah Omar, 57.

Pasangan itu bagaimanapun bercerai pada 27 Mei lalu.


“Mengikut arahan doktor, Lin perlu memakai topeng berkenaan selama 23 jam sehari namun kerana tidak tahan panas dan gatal, dia keberatan memakainya menyebabkan parut di wajah semakin membesar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, kelmarin.


Begitupun, Che Ku Zaimah yang badannya turut melecur akibat kejadian itu berkata, dia dan Nurul masih menjalani rawatan susulan serta kaunseling setiap bulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Katanya, walaupun masih trauma dengan tragedi berkenaan, namun dia bersyukur kerana anaknya tetap bersemangat meneruskan pelajaran di tahun tiga Sekolah Kebangsaan Padang Setar, di sini.


Menurutnya, selepas hampir 10 bulan tinggal di rumah ibunya, dia berpindah kembali ke rumah lama untuk memulakan hidup baru bersama anaknya kira-kira dua bulan lalu selain mahu mengelak daripada teringat peristiwa hitam yang berlaku di rumah ibunya itu.Peristiwa tragis itu akan kekal dalam ingatan kami, tetapi saya harap dengan berpindah semula ke rumah lama akan memberi semangat baru.


“Walaupun tidak bekerja tetap dan hanya membantu ibu menjual sayur di Pasar Kuala Berang, namun saya akan cuba untuk membesarkan anak dengan usaha sendiri di rumah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima kunjungan kumpulan Hijjaz dan ahli Koperasi Muamalat Bersatu Terengganu Berhad, kelmarin.


Nurul yang pada mulanya ‘berkurung’ dalam bilik ketika menerima kunjungan itu akhirnya mengalah apabila mendapat tahu kehadiran kumpulan nasyid yang diminatinya ke rumah.


Dia menerima beberapa keping cakera padat yang disampaikan ketua kumpulan Hijjaz, Isman Nadim Isam selain dibawa membeli barang keperluan di kedai runcit berhampiran rumahnya.


Sementara itu, Isman berkata, sejak tragedi itu disiarkan di muka depan Harian Metro pada 16 Ogos tahun lalu, dia sentiasa mengikuti perkembangan kanak-kanak berkenaan serta berhasrat menemui mereka.


“Apabila dipelawa Harian Metro berkunjung ke rumah Nurul petang semalam (kelmarin), saya tidak berfikir panjang dan sanggup pulang lewat ke Kuala Lumpur semata-mata mahu bertemu mereka sekeluarga.


“Walaupun terpaksa menunggu hampir sejam sebelum kanak-kanak itu keluar bilik, namun saya tidak kisah dan bersyukur kerana dia akhirnya keluar dan saya dapat bercakap dengannya.


“Saya harap penderitaan mereka sekeluarga tidak dilupakan masyarakat dan pelbagai pihak perlu terus memberi sokongan dan membantu mereka dalam apa saja bentuk,” katanya.

myMetro | Parut makin besar

No comments:

Post a Comment