Saturday, July 16, 2011

Askar tak mengaku rogol anak saudara

MELAKA: Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan merogol anak saudaranya dalam sebuah kereta pada Ogos tahun lalu.

Tertuduh berusia 37 tahun dari Taman Cempaka 2, Durian Tunggal, dekat sini, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.


Dia didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun 11 bulan di dalam kereta Proton Exora, di tempat letak kereta Pasaraya Family Store Batu Berendam, dekat sini, kira-kira jam 9.30 malam, Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan jika disabitkan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan.


Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff kemudian menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana mempunyai tanggungan ramai dan tidak mampu.


Sementara itu, pada prosiding berasingan selepas itu seorang penjual ubat, Safuan Salleh, 37, turut tidak mengaku bersalah merogol mangsa sama dalam kereta Proton Iswara di kebun getah, di Durian Tunggal pada 24 Jun lalu, kira-kira jam 7 malam.

Mahmoodah menawarkan jaminan RM15,000, namun tertuduh melalui peguamnya, Andrew Lourdes merayu dikurangkan dan dibenarkan mahkamah yang menetapkan jumlah jaminan sama iaitu RM10,000 bagi kedua-dua tertuduh.


Kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 September depan.

myMetro | Askar tak mengaku rogol anak saudara

No comments:

Post a Comment