Saturday, July 16, 2011

PATI ditahan ketika naiki pesawat


TAWAU 15 Julai - Hasrat tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk mencuba nasib di Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila mereka termasuk tiga wanita ditahan ketika ingin berlepas menaiki kapal terbang di Lapangan Terbang Tawau di sini, malam tadi.

Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 42 tahun itu gagal memperdayakan kakitangan Jabatan Imigresen apabila pihak berkenaan berjaya mengesan perbezaan wajah mereka dengan gambar yang tertera dalam pasport masing-masing.

Ketua Jabatan Imigresen Daerah, Ibrahim Tamsil berkata, kesemua suspek ditahan di balai berlepas lapangan terbang itu ketika ingin menaiki pesawat syarikat tambang murah tempatan kira-kira pukul 9.30 malam.

"Siasatan awal mendapati kesemua suspek baru dua hari memasuki negeri ini secara haram menerusi laluan tikus di Kalabakan. Kegiatan mereka dipercayai didalangi satu sindiket yang masih diburu.

"Kesahihan pasport Indonesia yang digunakan mereka juga diragui, pihak kita akan berhubung dengan Kedutaan Indonesia bagi mendapatkan pengesahan sama ada ia adalah asli atau palsu," katanya.

Tambah Ibrahim, kes itu merupakan yang pertama melibatkan pintu keluar lapangan terbang yang direkodkan pihaknya sepanjang tahun ini.

Katanya, kesemua PATI itu ditahan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, di bawah Seksyen 51 (5) (b), Akta Imigresen.

Beliau berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 12 (1) (b) Akta Imigresen 1966 (Akta 150), yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak

No comments:

Post a Comment