Dua kereta perisai Mesir iringi treler angkut paip UPVC ke Palestin
KUALA LUMPUR: Kargo bantuan kemanusiaan tajaan Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) yang terkandas di Pelabuhan Al Arish, Mesir, sejak Mei lalu akhirnya selamat tiba di Gaza, Selasa lalu.PGPF dalam satu kenyataan semalam, berkata bantuan merangkumi paip UPVC seberat 32 tan itu dibawa keluar dari kapal bantuan kemanusiaan MV Finch, juga dikenali sebagai Spirit of Rachel Corrie sebelum dipindahkan ke atas sembilan treler pada 6 Julai lalu.Katanya, kesemua treler yang membawa bantuan kemanusiaan itu kemudian bergerak meninggalkan Pelabuhan Al Arish, Ahad lalu, dengan diiringi dua kereta perisai milik tentera Mesir menuju ke El Ouja, sempadan Israel.
“Kargo itu kemudian dipindahkan ke treler lain yang ditaja oleh pihak berkuasa Palestin yang kemudiannya diiringi oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin ke Gaza melalui Karem Shalom,” katanya.
Spirit of Rachel Corrie meninggalkan Pelabuhan Piraeus di Greece pada 11 Mei lalu dengan membawa paip pembetungan UPVC dan komponen penyambung untuk memulihkan sistem pembetungan sepanjang 7.5 kilometer di Gaza yang musnah dibedil rejim Israel di Gaza pada 2008.
Kapal kargo itu kemudian dibenarkan berlabuh di Pelabuhan El Arish pada 5 Julai lalu selepas Presiden PGPF, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas Perdana Menteri, mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Mesir, Essam Sharaf di Kaherah pada 29 Jun lalu.
Kenyataan itu berkata, PGPF amat menghargai bantuan dan inisiatif yang dilakukan oleh Perdana Menteri Mesir dalam membolehkan bantuan kemanusiaan tiba di Gaza.
“PGPF juga melahirkan penghargaannya kepada semua pihak termasuk Kementerian Luar serta Kedutaan Besar Malaysia di Mesir dan Jordan untuk bantuan serta kerjasama yang dihulurkan sepanjang insiden itu,” katanya. Berita Harian Online | Kargo bantuan tiba di Gaza
No comments:
Post a Comment