JOHOR BAHRU: Seorang wanita merayu anak saudara perempuannya yang melarikan diri bersama tunang, dua bulan lalu, gara-gara lelaki itu gagal menyediakan wang hantaran majlis perkahwinan mereka, supaya pulang ke pangkuan keluarga.
Rokiah Syukur, 49, berkata, keluarganya bimbangkan keselamatan dan masa depan Julianasari Aa'far atau Sari, 18, yang dilarikan tunangnya, seorang mualaf ke Sabah.
Menurutnya, kali terakhir dia berbual dengan Sari akhir bulan lalu dan remaja itu mendakwa masih tinggal di kediaman keluarga tunangnya dikenali sebagai Zulkarnain, 22, namun enggan menyatakan alamat lengkap.
Katanya, Sari memaklumkan dia bimbang sekiranya keluarga tidak menerima semula kehadiran tunang kerana lelaki itu bukan saja gagal menyediakan wang hantaran, malah mengambil jalan mudah melarikannya.
"Sekiranya mereka ada jodoh, kami sanggup memaafkan Zulkarnain dan berjanji menganjurkan majlis perkahwinan mereka pada tarikh ditetapkan kelak.
"Ia bertujuan mengelak kejadian tidak diingini kerana kami bimbang ahli keluarga Zulkarnain yang bukan beragama Islam tidak memahami ajaran Islam. "Kami harap Sari dan Zulkarnain bersikap matang terutama dalam menjalani kehidupan sebagai suami isteri sah," katanya yang datang ke pejabat Harian Metro, semalam. Rokiah meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka supaya menghubunginya di talian 012-7291574, 019-7884604 atau balai polis berhampiran. Pada 12 Mei lalu, akhbar ini melaporkan tindakan seorang lelaki dipercayai melarikan bakal isterinya, empat hari sebelum majlis perkahwinan gara-gara gagal menyediakan wang hantaran. Lelaki terbabit yang berjanji menyerahkan RM10,000 sebagai wang hantaran, dikatakan menangguhkan tarikh perkahwinan dari 1 Mei ke 8 Mei lalu dengan alasan tidak dapat datang dari Sabah.
No comments:
Post a Comment