Saturday, July 16, 2011

Helah Geng Macho terbongkar



ABD. Razak Elias (kiri) menunjukkan topeng yang digunakan olehGeng Macho untuk melakukan pecah rumah di Serdang di Balai Polis Seri Kembangan, semalam.


KUALA LUMPUR 15 Julai - Empat lelaki yang dianugerahkan Tuhan memiliki tubuh yang tegap selain raut wajah yang kacak, menyalahgunakan kelebihan itu untuk terlibat dalam kegiatan jenayah pecah rumah dan samun di sekitar Serdang dekat sini, sejak beberapa bulan lalu.

Mereka yang dikenali sebagai Geng Macho memecah masuk beberapa rumah di sekitar kawasan itu ketika pemiliknya tiada di rumah.

Bagaimanapun, kegiatan kumpulan penjenayah yang berasal dari Kedah itu terbongkar apabila dua daripada mereka ditahan ketika cuba memecah masuk sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Kinrara, Puchong kira-kira pukul 10.20 pagi semalam.

Polis sebelum itu mendapat maklumat daripada seorang penduduk di kawasan itu bahawa dua lelaki berketerampilan kemas menaiki sebuah kereta jenis Peugeot 206 cuba memasuki rumah jirannya.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias, selepas dimaklumkan oleh penduduk itu, sepasukan anggota polis tiba di tempat kejadian dan berjaya menahan kedua-dua lelaki terbabit.

"Ketika ditahan, dua lelaki itu cuba mencungkil pintu rumah jirannya dengan pemutar skru yang diubah suai.

"Polis turut menemui pelbagai peralatan pecah rumah dan samun, termasuk topeng monyet di dalam kenderaan yang dinaiki oleh suspek berusia lingkungan 20-an itu," katanya pada majlis sambutan ulang tahun pertama penubuhan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di Balai Polis Seri Kembangan dekat sini, hari ini.

Kata beliau, hasil siasatan ke atas kedua-dua lelaki itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek tampan berusia lingkungan 20-an di sebuah kondominium Taman Segar Mewah, Cheras petang semalam.

"Polis turut menemui sepucuk pistol tiruan dalam beg galas, komputer, unit pemprosesan pusat (CPU) dan pelbagai barang berjenama di rumah suspek.

"Siasatan lanjut mendapati, sebahagian daripada barang itu dipercayai hasil pecah masuk sebuah pejabat di Bandar Baru Bangi pada 26 Jun lalu," katanya lagi.

Menurut Abd. Razak, Geng Macho yang dianggotai oleh sekumpulan lelaki berwajah seperti model dengan berpakaian kemas seperti untuk ke pejabat dan menaiki kereta berprestij itu adalah helah sebelum mereka memecah masuk rumah mangsa.

"Kumpulan penjenayah ini akan berlagak selamba seolah-olah rumah yang dimasuki mereka adalah rumah kenalan bagi mengaburi mata penduduk setempat.

"Kesemua mereka mempunyai rekod jenayah dan direman mengikut Seksyen 457/11 kerana cuba melakukan pecah masuk rumah," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment