KUALA LUMPUR: Ketika ahli keluarga dan masyarakat masih lagi bersedih di atas tragedi tanah runtuh di Madrasah dan Rumah Anak Yatim Al-Taqwa 21 Mei lalu, ada pihak lain dikesan cuba mengambil kesempatan dengan menyamar sebagai wakil pusat penempatan itu mengutip derma.
Menjadikan beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya sekitar Lembah Klang sebagai lokasi aktiviti mereka, kumpulan berkenaan dipercayai menggunakan nama dan logo madrasah itu untuk memohon simpati orang ramai menghulurkan sumbangan kononnya akan disalurkan kepada mangsa dan ahli keluarga.
Perkara itu didedahkan Yang Dipertua Persatuan Anak Yatim Malaysia (PAYM), Dr Idris Musa selepas menerima beberapa aduan berhubung perkara itu sejak berlakunya tragedi meragut 16 nyawa pelajar yang menyayat hati itu.
Katanya, taktik itu disedari selepas dia sendiri dihubungi orang ramai yang inginkan kepastian mengenai tindakan individu atau kumpulan tertentu mengutip derma mewakili persatuan dan rumah anak yatim terbabit.
“Kita menerima aduan dan rungutan orang ramai yang keliru dengan kemunculan beberapa tabung kutipan dana untuk disumbangkan kepada mangsa di beberapa kawasan rehat terutamanya Rawang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.
“Ada yang hanya menyediakan peti menggunakan nama Madrasah Al Taqwa tanpa surat kebenaran mana-mana pihak. Ini jelas satu tindakan mengaut keuntungan mudah kerana pada waktu ini, masyarakat masih lagi bersedih dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
Dr Idris berkata, pihaknya tidak pernah melantik pihak tertentu bagi mewakili persatuan kerana sebarang bentuk bantuan diserahkan secara terus ke pejabat urusetia yang terletak di penempatan sementara mangsa di Pusat Latihan Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Hulu Langat.
Selain itu katanya, PAYM turut menerima maklum balas daripada orang ramai yang ingin tahu status bantuan disalurkan bagi membantu meringankan beban pengurusan selain sumbangan terbabit digunakan untuk menampung perbelanjaan harian.
“Itu yang kita kesalkan. Apabila ada pihak mengambil kesempatan, akan wujud kekeliruan mengenai tabung yang diwujudkan bagi membantu anak yatim terbabit. Kita masih memerlukan sumbangan, dan jika ini berlaku, masyarakat akan jadi takut untuk menderma,” katanya.
Menurutnya, Madrasah dan Rumah Anak Yatim Al Taqwa, yang menerima penghuni pertama pada 2005 sebuah asrama di bawah PAYM dan ia diurus sepenuhnya jawatankuasa tertinggi persatuan sejak ia ditubuhkan sembilan tahun lalu.
Katanya, masyarakat masih lagi keliru dengan kewujudan pertubuhan mirip PAYM seperti Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) agama yang turut membela nasib anak yatim di sekitar Lembah Klang.
“Disebabkan itu, wujudnya peluang kepada individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk mengutip derma daripada orang ramai. Apa yang pasti, kita tidak pernah melantik ejen sebagai wakil PAYM bagi memohon sumbangan,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai jumlah kutipan semasa, beliau berkata, setakat ini keseluruhan dana yang dikumpul daripada sumbangan orang ramai berjumlah lebih RM500,000 dan pihaknya mengalu-alukan bantuan masyarakat untuk membina kembali penempatan kekal di sekitar kawasan Hulu Langat.
“Kami juga menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika dikunjungi individu yang meminta sumbangan bagi pihak madrasah atau persatuan bagi mengelakkan ditipu.
“Sebarang sumbangan boleh disalurkan terus kepada pusat penempatan sementara di Hulu Langat menerusi akaun bernombor 564137300901 (Maybank),” katanya.
No comments:
Post a Comment