Saturday, July 16, 2011

Bank tuntut RM90,000


IPOH: Seorang wanita terkejut apabila maklumat peribadi pada MyKad miliknya dicuri penjenayah untuk membuat pinjaman perumahan hampir RM280,000.
Tindakan itu menyebabkan mangsa kini diburu pihak bank yang memaksanya membuat pembayaran pinjaman yang tertunggak sejak hampir tiga tahun lalu.

Kok Choy Foong, 43, berkata, penjenayah menggunakan identitinya untuk membuat pinjaman itu menyebabkan dia kini disenarai hitamkan institusi kewangan.
“Saya hanya tahu berhubung penipuan itu selepas berhasrat membeli sebuah kereta baru dengan mendapatkan khidmat nasihat dari sebuah bank di sini.

“Bagaimanapun, kakitangan bank yang bertugas memaklumkan nama saya sudah disenarai hitamkan sebuah bank di Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, pegawai bank itu memberitahu saya tidak membayar tunggakan pinjaman perumahan selama 34 bulan membabitkan jumlah kira-kira RM90,000.
“Saya langsung tidak tahu menahu berhubung pembelian rumah di Pulau Pinang berikutan saya sekeluarga menetap sekian lama di Taiping, Perak.

“Saya yang terkejut dengan dakwaan itu berusaha menyiasat lebih mendalam, namun gagal mendapatkan kerjasama daripada pihak bank berhubung individu misteri yang melakukan penipuan itu,” katanya.
Menurutnya, dia membuat laporan di Balai Polis Pokok Assam, di sini, sebelum ke bank berkenaan untuk mendapatkan maklumat.

“Akhirnya, saya menerima satu salinan dokumen mengenai pinjaman perumahan itu yang menggunakan nama dan maklumat MyKad saya bagi membuat pinjaman RM279,800. Saya tidak pasti bagaimanapun MyKad saya boleh dipalsukan bagi membuat pinjaman bank itu.

“Saya sudah menghantar surat kepada bank berkenaan termasuk Bank Negara bagi menyiasat kes penipuan itu,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MCA cawangan Pokok Assam, di sini.
myMetro | Bank tuntut RM90,000

No comments:

Post a Comment