Saturday, July 16, 2011

Pekerja mati diserang mandur


SANDAKAN 15 Julai - Gara-gara bertengkar masalah kerja, seorang buruh ladang warga Indonesia mati dipercayai diserang oleh dua lelaki termasuk mandurnya sendiri di sebuah ladang kelapa sawit di Memanjang Batu 36, Jalan Beluran dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, mangsa yang berusia 32 tahun dan belum dikenali identitinya meninggal dunia di Hospital Daerah Beluran kira-kira pukul 9 malam.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa dikatakan bertengkar mengenai masalah kerja dengan mandurnya yang juga seorang warga Indonesia di rumah kongsi mereka.

"Mangsa dan isterinya tinggal bersama mandur berkenaan dan seorang lagi suspek yang juga adik kepada mandur itu di rumah kongsi yang sama," katanya di sini, hari ini.

Rowell berkata, lanjutan daripada pertengkaran itu, mangsa dikatakan diserang dengan menggunakan pisau dan botol.

Katanya, dua beradik berkenaan kemudian melarikan diri selepas menyerang mangsa manakala mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Daerah Beluran untuk rawatan lanjut.

Menurut beliau, pihaknya masih memburu dua beradik itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak

No comments:

Post a Comment