YAN: Ketika guru sedang sibuk mengajar, seorang pelajar lelaki dengan selamba mengambil pil khayal di belakang kelas dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pelajar tingkatan dua itu akhirnya ‘kantoi’ apabila guru terbabit dapat mengesan sikap peliknya yang ketika itu sedang khayal dalam kelas itu.
Hasil pemeriksaan, guru itu menjumpai beberapa biji pil khayal jenis Nospan di dalam beg sekolah pelajar terbabit sebelum memaklumkan kepada pengurusan sekolah yang melaporkannya kepada polis. Jurucakap polis ketika dihubungi, berkata, pelajar itu dipercayai mendapatkan bekalan pil khayal itu daripada beberapa pengedar yang bergiat cergas di bandar ini.
“Siasatan mendapati guru terbabit menemui beberapa biji pil khayal jenis Nospan dalam beg sekolah pelajar itu, yang dikatakan antara pelajar bermasalah dan sering mengambil pil khayal ketika dalam kelas.
“Sejurus menerima laporan itu, anggota polis bergegas ke sekolah itu dan membawa pelajar itu untuk menjalani ujian air kencing,” katanya.
Beliau berkata, pelajar itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Yan untuk siasatan lanjut.
Katanya, pelajar itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan ujian air kencing.
“Difahamkan, pil khayal itu dijual dengan harga antara RM1 hingga RM2 sebiji sehingga menjadi alternatif kepada golongan muda terutama pelajar sekolah,” katanya.
No comments:
Post a Comment