Saturday, July 16, 2011

Pekerja asing ‘ghaib’

IPOH: Seorang pengurus kilang kebingungan apabila 20 pekerjanya yang terdiri daripada warga asing ‘ghaib’ pada waktu subuh iaitu sehari sebelum pegawai Jabatan Imigresen Perak membuat pemeriksaan di premis itu.

Kumpulan pekerja asing itu yang seolah-olah mendapat maklumat awal dikesan mengemas semua pakaian sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah van putih yang mengambil mereka.


Pengarah Eksekutif E-Wood, Goh Jin Keat, berkata kehilangan semua pekerja itu hanya disedari selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kilangnya itu yang terletak di Kawasan Perindustrian Pengkalan II di Pusing, di sini.

Dia percaya semua pekerja warga asing itu melarikan diri bagi mengelak didaftar dalam Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang diperkenalkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.


“Mereka (pekerja asing) bimbang langkah itu akan membuatkan mereka terikat dengan satu majikan saja, sekali gus tidak boleh bekerja di tempat lain yang menawarkan gaji lebih tinggi.


“Perkara itu sudah tersebar luas di kalangan pekerja asing dengan dipercayai ada pihak tertentu yang sanggup menawarkan diri bagi ‘melarikan’ mereka,” katanya.

Dia berkata, syarikat itu yang menjadi pengeksport bingkai gambar kayu ke Eropah, Australia dan Timur Tengah menggaji lebih 200 pekerja asing dari Bangladesh, Nepal dan Myanmar.


Difahamkan Jabatan Imigresen Perak sudah menubuhkan unit bergerak khusus untuk mendaftarkan lebih 100,000 pekerja asing sah di negeri ini bagi Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang sah, bermula kelmarin sehingga akhir bulan ini.

Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata, setakat ini pihaknya menubuhkan tiga unit pasukan dianggotai lima kakitangan setiap unit bagi melaksanakan program itu di premis perniagaan yang dikenal pasti menggaji ramai pekerja asing.


Menurutnya, langkah itu memberi kelebihan kepada majikan terbabit kerana setiap pekerja yang sudah mendaftar dengan mereka tidak boleh mendaftar dengan majikan lain tanpa kebenaran.


“Di Perak, sebahagian besar pekerja asing bekerja di sektor perkhidmatan dan perkilangan manakala selebihnya dalam sektor perladangan. Syarikat United Plantations menggaji pekerja ladang asing teramai iaitu lebih 4,000 orang terutama sekitar daerah Manjung dan Hilir Perak,” katanya. Beliau ditemui ketika meninjau pelaksanaan program berkenaan di Kilang E-Wood Moulding (Malaysia) Sdn Bhd (E-Wood) di Kawasan Perindustrian Pengkalan II di Pusing, dekat sini, semalam.


Program berkenaan adalah sebahagian daripada Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program (6P) iaitu pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran pendatang asing tanpa izin yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini.

myMetro | Pekerja asing ‘ghaib’

No comments:

Post a Comment