Saturday, July 16, 2011

'Lesen terbang': Datuk antara 23 ditahan

KUALA LUMPUR 15 Julai - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ialah antara 23 lelaki yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengeluaran 'lesen terbang' melibatkan beberapa buah sekolah memandu di Lembah Klang dan Selangor.

Lelaki lingkungan 60-an itu ditahan di pejabatnya di ibu negara pada 27 Jun lalu.

Datuk tersebut dipercayai bertindak sebagai 'runner' bagi sindiket itu yang berperanan mendapatkan calon untuk menduduki ujian Bahagian 1 Berkomputer.

Selain tangkapan itu, menurut sumber, dianggarkan 100 calon yang dikenal pasti memperoleh 'lesen terbang' diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Daripada 23 individu lelaki yang ditahan ada antaranya pengurus, pemilik pusat belajar memandu dan orang tengah.

"Kertas siasatan kes ini hampir lengkap, bagaimanapun kita mengesan individu terlibat dan calon-calon lain yang memperoleh lesen terbang," kata sumber itu.

SPRM baru-baru ini menahan 10 lelaki bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengeluaran lesen terbang yang dipercayai turut melibatkan beberapa buah sekolah memandu di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Kesemua mereka bekerja di sekolah memandu dan terlibat sebagai ejen sindiket berusia antara 25 dan 40 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang.

Menurut sumber, sindiket itu dipercayai menerima suapan antara RM300 hingga RM400 daripada setiap calon yang bersetuju mendapatkan lesen terbang.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment