Saturday, July 16, 2011

Dua ditahan terbabit kes rompakan berkumpulan


KOTA KINABALU 15 Julai - Polis menahan dua lelaki warga asing kerana dipercayai terlibat dalam lima kes rompakan berkumpulan sehingga mencecah RM480,000 di sekitar bandar raya ini sejak awal tahun ini.

Siasatan awal mendapati, kesemua suspek berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an itu terbabit dalam beberapa kes kecurian, rompakan berkumpulan dan bersenjata.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, kedua-dua suspek ditahan di Luyang di sini pada 6 Julai lalu hasil maklumat daripada orang awam.

"Sebaik sahaja menerima maklumat, sepasukan polis dikerahkan ke kawasan itu untuk menjalankan pengawasan dan menangkap kedua-dua suspek berhampiran sebuah bank yang pernah dirompak oleh mereka," katanya di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Sofi, modus operandi mereka adalah mensasarkan lokasi bank dengan memerhatikan mangsa yang memasuki bank dan mengeluarkan wang dalam jumlah yang besar.

"Mereka kemudian akan memancitkan tayar kenderaan mangsa sementara menunggu mereka keluar daripada bank. Semasa mangsa sibuk menukar tayar, suspek bertindak merompak mangsa," katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak

No comments:

Post a Comment